Keputusan rayuan Peter Anthony ditentukan pada tarikh lain

Peter Anthony (kiri) hadir ke Mahkamah Rayuan Putrajaya bagi prosiding rayuan kesnya, pada Khamis.
Peter Anthony (kiri) hadir ke Mahkamah Rayuan Putrajaya bagi prosiding rayuan kesnya, pada Khamis.
A
A
A

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini pada Khamis akan menetapkan tarikh lain bagi keputusan rayuan Datuk Peter Anthony atas hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 atas sabitan bersalah memalsukan kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan, pada 2014 lalu.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim memutuskan demikian selepas mendengar hujahan daripada pembelaan Peter selaku perayu dan pendakwaan sebagai responden.

“Kita akan menetapkan tarikh lain untuk keputusan,” kata Ahmad Zaidi yang bersidang bersama hakim-hakim, Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin.

Mahkamah kemudiannya menetapkan pengurusan kes untuk penetapan tarikh keputusan berkenaan pada 16 Ogos depan.

Semasa hujahan, peguam, Datuk Nicholas Kow Eng Chuan yang mewakili bekas menteri pembangunan infrastruktur Sabah berhujah bahawa pertuduhan terhadap anak guamnya adalah cacat kerana tiada tandatangan pada kertas pertuduhan.

Beliau berkata, ia selaras dengan peruntukan Seksyen 172 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).

“Pihak pendakwaan menghujahkan bahawa peruntukan itu, tidak terpakai bagi kes-kes di Mahkamah Tinggi sahaja, sebaliknya kes anak guam saya dibuat di Mahkamah Sesyen.

“Bagaimanapun, kami berhujah bahawa pelaksanaan undang-undang mesti sama, kerana peruntukan ini juga perlu diguna pakai di peringkat mahkamah rendah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menjawab hujahan pembelaan, Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, ketiadaan tanda tangan pada kertas pertuduhan tidak membawa kepada satu salah laksana keadilan atau ‘miscarriage of justice’.

Menurutnya, pertuduhan yang dikemukakan, sama ada asal atau dipinda, telah dibacakan dan diterangkan kepada perayu.

“Perayu juga memahami pertuduhan yang dibacakan kepadanya, maka ketiadaan tanda tangan pada kertas pertuduhan hanyalah satu keciciran atau ‘omission’ yang tidak boleh dianggap sebagai salah laksana keadilan.

“Hujahan perayu bahawa ketiadaan tanda tangan pada kertas pertuduhan sebagai bertentangan dengan Seksyen 129 KTJ, ialah tidak berasas,” katanya.

Beliau berkata, ini disebabkan penggunaan Seksyen 129 KTJ, khusus kepada perbicaraan di Mahkamah Tinggi sahaja, sedangkan kes yang dihadapi perayu, dibuat di peringkat Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Selain itu beliau berkata, ketiadaan izin yang baharu bagi pertuduhan pindaan terhadap perayu tidak membawa sebarang kesan yang negatif.

Menurutnya, kes melibatkan Peter ialah satu kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) di mana izin di bawah seksyen 129 KTJ tidak diperlukan.

Katanya, kes melibatkan perayu hanya memerlukan izin untuk mendakwa di bawah Seksyen 58 Akta SPRM 2009 yang di mana ia telah dikemukakan.

Keputusan ini kelak, akan menentukan sama ada Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) itu boleh bertanding atau hilang kelayakan sebagai calon pada pilihan raya akan datang.

Menurut laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), mana-mana individu yang telah disabitkan dengan kesalahan oleh mahkamah, dihukum penjara minimum satu tahun atau didenda melebihi RM2,000 dan masih belum menerima pengampunan atau dibatalkan sabitannya, tidak boleh menjadi calon pilihan raya.

Pada 19 April 2023, Peter memfailkan rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 atau penjara 15 bulan, yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 26 Mei 2022.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap ini gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 18 April tahun lepas, dan ini merupakan rayuan terakhirnya di Mahkamah Rayuan.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Bache menolak rayuan Peter, setelah bersetuju dengan dapatan hakim bicara Mahkamah Sesyen, bahawa ahli politik itu memalsukan dokumen bagi mendapatkan projek di Universiti Malaysia Sabah (UMS), sedangkan tertuduh mengetahui projek itu dibuat melalui tender terbuka.

Dia sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014, iaitu memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, di Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014, didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Pada April lalu, Peter mengemukakan representasi pertama untuk mengetepikan sabitan, hukuman penjara dan denda namun ditolak Jabatan Peguam Negara (AGC), pada hujung Mei.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!