KPDN serbu stor haram simpan 59,500 liter diesel bersubsidi

Sebuah lori turut disita dalam Ops Tiris' pada Selasa.
Sebuah lori turut disita dalam Ops Tiris' pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebuah stor haram yang dijadikan tempat penyimpanan minyak diesel bersubsidi tumpas apabila diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), pada Selasa.

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Azman Adam berkata, serbuan menerusi Ops Tiris itu dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa daripada KPDN Selangor dan Putrajaya dengan kerjasama Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bermula kira-kira jam 8 malam.

"Serbuan dilakukan hasil risikan yang telah dilakukan oleh KPDN sebelum operasi dilaksanakan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Azman memberitahu, maklumat awal yang diperoleh mendapati, modus operandi sindiket itu menggunakan premis terbabit sebagai stor haram tempat penyimpanan minyak diesel untuk nelayan tempatan di bawah seliaan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK).

Jelas beliau, hasil pemeriksaan lanjut ke atas keseluruhan premis terbabit, pasukan serbuan telah menemukan minyak diesel dengan anggaran kuantiti keseluruhan berjumlah 59,500 liter disyaki digunakan untuk kegiatan penyelewengan.

"Selain diesel, sebuah lori tangki, paip penyambung, minyak dan beberapa dokumen berkaitan serta peralatan-peralatan lain ditemukan telah disita bagi tujuan siasatan lanjut dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM200,000.

Menurut Azman, enam individu berumur lingkungan 30 hingga 50 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.

"Dua daripada individu yang ditahan itu merupakan warga tempatan,manakala selebihnya adalah warga asing yang dipercayai pekerja dan pemandu lori berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini serta rantaian pengedaran minyak diesel tersebut," tambahnya.

Tegas beliau, KPDN memberi amaran keras terhadap mana-mana individu atau syarikat yang berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan telah ditetapkan.

Katanya, mereka yang didapati bersalah boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Bagi syarikat pula, sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta," tambah beliau.

Selain itu, syarikat juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613] iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutan hak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan minyak diesel.

Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613 ini boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta mana yang lebih tinggi.

Sehubungan itu, katanya, KPDN giat melaksanakan operasi berterusan bagi memastikan aktiviti penyelewengan minyak diesel dapat terus dibanteras.

Beliau berkata, sebanyak 11,239 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh negara bermula 1 Januari hingga 30 Julai lalu.

Azman memaklumkan, bagi bahan api diesel sahaja, sebanyak 621 kes telah dihasilkan yang melibatkan nilai rampasan berjumlah RM12.996 juta dengan seramai 292 individu telah ditahan dalam tempoh sama.

"Kementerian ingin memberikan peringatan dan amaran kepada semua pihak agar sentiasa mematuhi perundangan dan tidak melakukan sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi terutamanya minyak diesel bagi mengelakkan daripada dikenakan tindakan tegas," kata beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!