10 resolusi pemantapan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah
SEBAGAI usaha melestarikan gerakan dakwah dan memperkasakan Kerajaan Madani, Program Wacana Ilmiah 2024: Pemantapan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) diadakan baru-baru ini.
Acara itu dianjurkan Persatuan Guru-Guru Agama Pondok Pantai Timur, Persatuan Guru Agama Pondok Terengganu, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI) dan Persatuan Mahasiswa Usuluddin (PMUS) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Ia berlangsung di Dewan Auditorium Bangunan Akademik UniSZA di Kuala Nerus, Terengganu.
Pada program tersebut, sebanyak 10 resolusi penting dibentangkan. Semuanya bagi memantapkan akidah ASWJ.
Berikut perincian resolusi itu:
1. ASWJ dalam konteks Malaysia amnya dan Terengganu khasnya dari aspek akidah merujuk kepada aliran al-Asya'irah dan al-Maturidiyah.
Sementara itu, dari aspek fiqah merujuk kepada Mazhab Syafie di samping tiga mazhab muktabar yang lain, manakala dari sudut tasawufnya pula merujuk kepada pegangan Imam Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali.
2. Aliran akidah itu menjadi pegangan majoriti umat Islam di Malaysia, Aceh Indonesia dan juga majoriti umat Islam di seluruh dunia Islam.
Manhaj salaf adalah aslam (lebih selamat), manakala manhaj khalaf merupakan ahkam (lebih bijaksana).
Kedua-dua manhaj itu telah pun diambil kira dan menjadi silibus pengajian dalam ASWJ terutamanya aliran al-Asya'irah dan al-Maturidiyah.
Kepada mereka yang mendakwa aliran tersebut hanya berkaitan dengan khalaf sahaja, maka pendakwa tersebut sebenarnya telah salah faham tentang hakikat sebenar berkaitan silibus aliran al-Asya'irah dan al-Maturidiyah.
Bahkan, ditegaskan bahawa al-Asyairah dan al-Maturidiyah mewakili akidah salaf soleh sebenar termasuk berperanan menjaga akidah sebenar Nabi Muhammad SAW.
3. ASWJ aliran al-Asya'irah, al-Maturidiyah dan Fudola' al-Hanabilah merupakan aliran yang menjaga khazanah warisan akidah dari Nabi Muhammad SAW, para sahabat, tabiin dan tabi' tabiin (salaf soleh) sehinggalah sekarang.
Dakwaan yang menyatakan bahawa hanya aliran al-Hanabilah sahaja yang mewarisi akidah salaf soleh, maka tuduhan itu mengandungi implikasi yang sangat bahaya.
Ini kerana ia mendorong pihak lain menuduh akidah aliran al-Asya'irah dan al-Maturidiyah sebagai akidah sesat, tiada kaitan dengan Nabi Muhammad SAW dan salaf soleh atau berakidah ahli falsafah Yunani. Ini merupakan fitnah dan tuduhan berat kepada akidah majoriti para ulama seluruh dunia.
4. Majoriti ulama hadis berpegang dengan akidah al-Asya'irah dan al-Maturidiyah.
Terdapat sebahagian kecil ulama hadis berpegang dengan aliran Fudola' al-Hanabilah (al-Athariyah atau Ahl al-Hadith al-Mufawwidoh) yang mana usulnya tidak bercanggah dengan akidah al-Asya'irah dan al-Maturidiyah.
Namun, terdapat kelompok yang lebih kecil cuba menyelit menerusi aliran al-Hanabilah yang mana mereka cenderung kepada tajsim dan takfir. Maka, ketika ini prinsipnya telah bercanggah dengan al-Asya'irah, al-Maturidiyah dan Fudola' al-Hanabilah sebenar, meskipun mereka belum terkeluar daripada Islam.
5. Keperluan memberikan penekanan terhadap ancaman ekstremisme agama sama ada dari aspek al-ifrat (liberal) mahupun al-tafrit (literal).
Kedua-dua ekstremisme itu mesti ditolak oleh seluruh umat Islam, selari dengan ASWJ yang bersifat wasatiyyah (seimbang).
6. Keperluan membangunkan pelan strategik pengukuhan akidah ASWJ di Malaysia secara komprehensif.
Perkara ini perlu diusahakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia di peringkat Persekutuan sebagai badan penyelaras dan Jabatan Agama Islam Negeri di peringkat negeri-negeri.
7. Implikasi penyebaran ajaran menyeleweng dan bercanggah dengan ASWJ di Malaysia bukan sahaja berkait dari aspek akidah dan syariat, malah ia turut memberi kesan dari aspek keselamatan negara meliputi ketenteraman, perpaduan ummah, jenayah, keganasan dan berpotensi meruntuhkan negara.
8. Memberi sokongan padu kepada segala usaha pihak penfatwaan dan penggubal undang-undang bagi memperkasakan akidah ASWJ.
Ia termasuklah seperti fatwa liberalisme, fatwa larangan pembidaahan perkara khilafiyyah, Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan, RUU 355 berkaitan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah, pendefinisian spesifik ASWJ seperti al-Asya’irah dan al-Maturidiyah dalam Undang-undang Tubuh Negeri dan seumpamanya. Ini ke arah untuk menepati ajaran Islam patuh ASWJ.
9. Para pendakwah perlu menggunakan teknologi terkini bagi menyebarkan dakwah seluas mungkin asalkan menepati fahaman ASWJ.
Sebaiknya, elakkan isu sampingan yang menyebabkan pertelingkahan antara ilmuwan ASWJ sehinggakan lupa untuk mengamalkan zikir dan ibadah kepada ALLAH SWT.
10. Kepentingan kembali kepada turath kitab dan ulama ASWJ serta pemantauan komprehensif berkaitan silibus pengajian akidah.
Langkah itu perlu dilaksanakan di semua sekolah kerajaan dan persendirian dari sekolah rendah hingga institusi pengajian tinggi, kelas dalam talian mahupun bersemuka, ceramah di masjid, surau mahupun anjuran pertubuhan bukan kerajaan, parti politik dan seumpamanya.
Semua resolusi itu disenaraikan berdasarkan ucapan pembentangan dan saranan oleh Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail; Ketua Majlis Permesyuaratan Ulama Aceh, Ustaz Tengku Faisal Ali; Yang Dipertua Yadim, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus dan Pengerusi Yayasan Ar-Ri’ayah Malaysia, Habib Ali Zainal Abidin Al-Hamid.
Selain itu, resolusi tersebut juga dibentuk berdasarkan saranan Pengerusi Persatuan Guru-Guru Agama Pondok Pantai Timur, Ustaz Syed Suhaimi Syed Hassan Abd Hadi; Ketua Pusat Pengajian Usuluddin FKI UniSZA, Dr Muhammad Rashidi bin Wahab; Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak, Ustaz Engku Ahmad Fadzil Engku Ali dan Ilmuan Muda Indonesia, Kiyai Nur Hidayat Muhammad.
Semoga 10 resolusi itu mendapat perhatian dan diambil tindakan sewajarnya oleh semua pihak sebagai usaha bagi pemantapan akidah ASWJ di bumi Malaysia.
*Artikel ditulis oleh Prof Madya Dr Mohd Hasrul Shuhari yang merupakan Pensyarah di Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!