Laporan cadangan perubahan gaji minimum akan dibentang ke Kabinet

Steven Sim
Steven Sim
A
A
A

GEORGE TOWN - Majlis Perundingan Gaji Negara sedang menyediakan laporan kepada Kabinet mengenai cadangan perubahan gaji minimum, kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.

Beliau berkata, majlis yang terdiri daripada wakil majikan, pekerja dan kerajaan itu telah mengadakan perbincangan mengenai perkara itu pada akhir Jun lepas.

"Gaji minimum sangat penting, saya telah melihat data, statistik dan penyelidikan. Kita bercakap tentang pekerja yang berada dalam 10 peringkat paling bawah (yang menerima gaji rendah) sekurang-kurangnya telah mengalami pertumbuhan gaji yang positif hingga 60 peratus dalam 10 tahun lepas kerana dasar gaji minimum,” katanya.

Steven berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Sumber Manusia Wilayah Utara 2024 di Pusat Konvensyen Setia SPICE di sini pada Khamis.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya percaya kenaikan gaji tidak seharusnya melalui peruntukan undang-undang semata-mata meskipun mekanisme gaji minimum telah menunjukkan kesan positif.

Justeru, Steven berkata, kerajaan telah merintis Dasar Gaji Progresif bermula Jun lepas dengan kerajaan memberikan insentif kepada majikan untuk membayar gaji pekerja mereka lebih tinggi.

"Pekerja yang mengambil bahagian dalam program ini pula perlu menjalani latihan kemahiran selama 21 jam kerana kami mahu memastikan gaji yang lebih tinggi sepadan dengan kemahiran terkini untuk meningkatkan produktiviti," katanya.

Beliau berkata, setakat ini, kira-kira 430 syarikat telah mendaftar projek rintis itu yang memanfaatkan 1,200 pekerja.

Artikel Berkaitan:

Projek rintis itu dijalankan menjelang pelaksanaan penuh Dasar Gaji Progresif yang bertujuan menaikkan gaji dan mencapai agihan pendapatan lebih seimbang untuk mereformasi pasaran buruh dan meningkatkan pendapatan pekerja sejajar dengan peningkatan produktiviti.

Sebelum ini, Steven dilapor berkata, kerajaan akan mengkaji semula gaji minimum dengan kali terakhir ia disemak pada Mei 2022 dengan kenaikan daripada RM1,200 kepada RM1,500.

Persidangan Sumber Manusia Wilayah Utara 2024 menghimpunkan profesional dan pakar industri bertujuan berkongsi pengetahuan dan strategi praktikal bagi meningkatkan amalan sumber manusia dalam organisasi dengan tumpuan kepada membina tenaga kerja berdaya tahan serta mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!