Bersatu mohon mahkamah batal saman Suhaili

Bersatu memohon Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Rabu, untuk membatalkan saman Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (kiri) yang menuntut pengisytiharan bahawa pemecatan keahliannya dalam parti itu sebagai tidak sah.
Bersatu memohon Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Rabu, untuk membatalkan saman Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (kiri) yang menuntut pengisytiharan bahawa pemecatan keahliannya dalam parti itu sebagai tidak sah.
A
A
A

SHAH ALAM – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memohon Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Rabu, untuk membatalkan saman Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman yang menuntut pengisytiharan bahawa pemecatan keahliannya dalam parti itu sebagai tidak sah.

Bersatu menerusi Kapten (B) Datuk Muhammad Suhaimi Yahya selaku defendan memfailkan permohonan tersebut menerusi Tetuan Chetan Jethwani & Company.

Menerusi dokumen permohonannya, Bersatu berkata, Suhaili, 63, selaku plaintif tidak mempunyai locus standi atau hak di sisi undang-undang untuk membawa tindakan itu terhadap Bersatu memandangkan beliau bukan lagi ahli parti itu.

“Tuntutan plaintif adalah mengaibkan, remeh dan suatu penyalahgunaan proses mahkamah untuk mencapai suatu motif tersembunyi.

“Mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menentukan perkara utama yang dibawa oleh plaintif menurut Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966,” kata Bersatu.

Suhaili yang memfailkan saman itu pada 1 Julai lepas berkata, pada 2 November 2023, Lembaga Disiplin Bersatu mengemukakan surat memaklumkan pertuduhan telah dibuat terhadap beliau atas dakwaan melanggar Artikel 22.1 (f) perlembagaan parti.

Beliau berkata, surat itu memaklumkan bahawa satu laporan telah dibuat berhubung kenyataan akhbarnya yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Suhaili berkata, pada 3 November 2023, beliau telah menulis surat kepada Lembaga Disiplin untuk menjelaskan bahawa kenyataan itu dibuat kerana kegagalan parti menyediakan dana untuk membantu rakyat di Labuan.

Artikel Berkaitan:

Beliau mendakwa walaupun telah memberikan penjelasan yang munasabah, Lembaga Disiplin secara salah di sisi undang-undang dan tidak rasional memutuskan untuk menggantung keahliannya selama enam tahun pada 7 November tahun sama.

Susulan itu, Suhaili menyaman parti itu melalui Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 19 Disember 2023 namun kes tersebut dibatalkan selepas mahkamah berkenaan memutuskan ia perlu difailkan di Mahkamah Tinggi Malaya.

Pada 17 Mei lepas, Suhaili mendakwa menerima surat daripada Setiausaha Agung memaklumkan bahawa beliau telah dipecat secara automatik atas alasan telah memfailkan saman terhadap parti itu berdasarkan Artikel 10.2.6 Perlembagaan Bersatu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!