[VIDEO] Keluarga desak kerajaan percepat siasatan kematian Beng Hock
PUTRAJAYA - Keluarga Teoh Beng Hock mendesak kerajaan mempercepat proses siasatan kematian mendiang yang sudah berlanjutan sehingga 15 tahun.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata, perkara itu dibangkitkan dalam pertemuan keluarga mendiang bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini pada Khamis.
Menurutnya, jangka masa yang begitu lama untuk melengkap siasatan kematian Beng Hock adalah tidak boleh diterima.
"Kami telah membuat rayuan kepada Anwar supaya proses ini disegerakan dan beliau memberi jaminan bahawa akan membangkitkan perkara itu kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dalam masa terdekat," katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Ramkarpal berkata, sebarang perkembangan akan dimaklumkan Anwar kepadanya selaku peguam keluarga.
Beng Hock, 30, ditemui mati di bahagian koridor tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam yang ketika itu menempatkan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di tingkat 14.
Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) kes itu pada 2011 memutuskan kematiannya kerana membunuh diri berikutan siasatan yang dijalankan SPRM.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 2014 menolak keputusan terbuka yang dibuat koroner, sebaliknya memutuskan Beng Hock mati selepas jatuh dari bangunan yang disebabkan tindakan menyalahi undang-undang oleh seorang atau beberapa orang yang tidak dikenali termasuk pegawai SPRM.
Susulan itu, SPRM bersetuju membayar saman RM600,000 kepada keluarga Beng Hock.
Sementara itu, adik kepada Beng Hock, Teoh Lee Lan lega dengan janji yang diberi oleh Anwar.
"Kes ini tidak ada keadilan dan kebenaran kerana siasatan polis yang tidak adil sebelum ini.
"Anwar kata kali ini polis akan siasat dengan bebas dan profesional. Jika perlu polis akan memanggil pakar antarabangsa yang terkenal," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!