'Selagi boleh, saya akan terus bekerja' - Sathia

Meskipun diserang strok baru-baru ini, pelakon dan pelawak veteran Sathia kekal bersemangat dalam meneruskan kerjaya seninya.
Meskipun diserang strok baru-baru ini, pelakon dan pelawak veteran Sathia kekal bersemangat dalam meneruskan kerjaya seninya.
A
A
A

MESKIPUN diserang angin ahmar baru-baru ini, pelakon dan pelawak veteran Sathia Periasamy, atau lebih dikenali dengan nama pentasnya Sathiya, kekal bersemangat dan positif dalam meneruskan kerjaya seni yang kini mencecah 40 tahun.

Popular menerusi watak Ravi dalam sitkom 'Pi Mai Pi Mai Tang Tu', Sathiya, 60, berkata selagi mempunyai kudrat, beliau akan terus bekerja kerana enggan membebankan sesiapa, terutama anak-anaknya.

"Sakit itu memang sakit, tetapi bukan besar (teruk) sangat. Sikit sahaja, hanya angin ahmar ringan. Selagi boleh bekerja saya akan terus kerja.

"Lagipun (di Malaysia) hanya ada satu sahaja Sathiya. Kalau ada Sathiya kedua, saya beri kepada dia, saya duduk rehat di rumah,” katanya ketika ditemui Bernama pada program Dari Poket Artis Ke Poket Artis 2.0 di sini baru-baru ini.

Sathiya antara 20 artis veteran yang menerima sumbangan wang tunai RM5,000 serta bekalan produk makanan tambahan kesihatan daripada sebuah syarikat swasta pada majlis itu.

Pemenang kategori Artis Bukan Melayu Popular Anugerah Bintang Paling Popular Berita Harian 1998/1999 itu berkata, keadaan kesihatannya kini beransur pulih, namun masih belum boleh memandu sendiri.

"Ketika kejadian saya sedang bersarapan, tiba-tiba rasa kaki seperti ditarik, keluarga terus bawa ke hospital dan sahkan saya diserang angin ahmar ringan. Saya masih boleh bergerak seperti biasa, cuma pergerakan agak terbatas.

"Jangan risau saya baik-baik sahaja, selagi saya bercakap orang faham maknanya saya (dalam keadaan) baik (sihat),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, bapa dua anak itu bersyukur masih mendapat tempat di dalam industri dan bakal tampil dengan empat filem terbaharu pada tahun ini atau awal tahun depan.

"Tawaran berlakon masih banyak, mungkin sebab saya seorang sahaja (pelawak berbangsa) India. Selain itu, mungkin sebab muka belum tua, masih sesuai untuk menjayakan apa-apa watak,” katanya.

Sebelum ini, Sathiya dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur selepas mengadu kebas kaki dan tangan ketika sedang bersarapan bersama-sama isteri di kediamannya. Bagaimanapun, pelawak itu dibenarkan keluar dua hari kemudian. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!