Pembenihan awan: Pulau Pinang masih tunggu jawapan Nadma
GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang menerusi Badan Kawal Selia Air (BKSA) negeri telah memohon kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk melaksanakan pembenihan awan di negeri ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, BKSA telah membuat dua permohonan namun masih belum menerima maklum balas daripada Nadma.
"Surat pertama telah diutuskan pada 19 Julai lalu dan surat susulan dihantar selepas tarikh berkenaan.
"Kita telah membuat dua permohonan kepada Nadma untuk melaksanakan pembenihan awan di empangan di kawasan pulau. Bagaimanapun, masih belum menerima maklum balas.
"Di kawasan pulau, kita masih ada cabaran untuk mengisi dua empangan yang memerlukan air hujan. Disebabkan tiada maklum balas, jadi kita perlu atur permintaan dan penyaluran bekalan air kepada pengguna," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri, di sini pada Khamis.
Kon Yeow menambah, ketika ini, paras air Sungai Muda menunjukkan penurunan menyebabkan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) terpaksa menggunakan air daripada Empangan Mengkuang untuk keperluan pengguna.
"Selalunya paras air Empangan Mengkuang berada pada paras lebih 95 hingga 98 peratus.
"Oleh kerana itu, kita perlu lepaskan air dalam tempoh dua minggu apabila paras Sungai Muda turun. Sekarang, paras Empangan Mengkuang turun sehingga 87 peratus," katanya.
Tambah Kon Yeow, Pulau Pinang mendapat manfaat daripada pembenihan awan yang dilaksanakan di kawasan Empangan Muda di Kedah.
"Kita amat mengalu-alukan pelaksanaan pembenihan awan di Kedah kerana ia akan memanfaatkan Pulau Pinang. Usaha itu akan dapat membantu meningkatkan paras air Empangan Muda sekiranya hujan turun selepas pembenihan awan dilakukan.
"Jika ada hujan, maka Empangan Muda dapat diisi semula dengan air hujan dan mereka dapat lepaskan air ke Sungai Muda.
"Oleh demikian, Pulau Pinang akan mendapat manfaat sekiranya pembenihan awan di Empangan Muda berjaya," katanya.
Berdasarkan laman sesawang PBAPP pada Khamis, dua empangan utama di bahagian pulau iaitu Empangan Air Itam mencatatkan kapasiti effektif pada paras 35.8 peratus manakala Empangan Teluk Bahang pula pada paras 29.6 peratus.
Empangan Mengkuang pula berada pada paras 86.8 peratus.
Dalam perkembangan lain, Kon Yeow mengumumkan penganjuran Penang2030 Festival yang akan berlangsung pada 21 dan 22 September ini di bangunan Komtar.
Kata Kon Yeow, penganjuran itu merupakan komitmen secara kolektif dalam mewujudkan kemakmuran, inklusif dan masa depan yang mampan untuk rakyat Pulau Pinang.
"Visi ini adalah merangkumi aspirasi Kerajaan Pulau Pinang dan berfungsi sebagai petunjuk arah yang membawa kita semua ke arah masa depan lebih baik.
"Festival mega yang julung kali diadakan ini adalah sejajar dengan slogan Visi Penang2030 iaitu Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!