Platform media sosial tidak berlesen boleh dipenjara, denda

Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 mempunyai peruntukan yang membolehkan kerajaan menutup platform tidak berlesen berkenaan. Foto hiasan
Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 mempunyai peruntukan yang membolehkan kerajaan menutup platform tidak berlesen berkenaan. Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Platform media sosial yang gagal mengambil lesen pada 1 Januari tahun depan boleh dihukum denda atau penjara sekiranya mereka terus beroperasi di Malaysia.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 mempunyai peruntukan yang membolehkan kerajaan menutup platform tidak berlesen berkenaan.

"Pada waktu ini, yang kita tetapkan adalah tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 126 Akta Komunikasi Multimedia.

"Sekiranya didapati bersalah, penyedia perkhidmatan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 ataupun lima tahun penjara ataupun kedua-duanya.

"Mereka juga boleh dikenakan denda RM1,000 untuk setiap hari ataupun sebahagian dari hari tersebut selagi mana 'the offence' ataupun kesalahan itu berterusan," katanya pada Khamis.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan akan menutup platform media sosial dan perkhidmatan pesanan internet tidak berlesen pada 1 Januari 2025.

Mengulas lanjut, Fahmi memaklumkan rangka kerja kawal selia baru untuk media sosial dan penyedia perkhidmatan pemesejan internet berkuat kuasa pada 1 Ogos 2024.

Artikel Berkaitan:

Fahmi ketika sidang media di Kementeriannya pada Khamis. Foto Bernama
Fahmi ketika sidang media di Kementeriannya pada Khamis. Foto Bernama

Katanya, penyedia perkhidmatan mempunyai tempoh sehingga 31 Disember untuk mendaftar sebelum pelaksanaan pelesenan dikuatkuasakan pada 1 Januari 2025.

Sementara itu, beliau berkata, sesi libat urus bersama ahli Parlimen dan badan bukan kerajaan (NGO) turut diadakan bagi memastikan rakyat Malaysia memahami langkah kerajaan yang berlandaskan perlembagaan.

"Kita nak satu suasana yang lebih baik terutama memastikan internet lebih selamat untuk kanak-kanak dan keluarga kita," katanya.

Bagaimanapun, Fahmi memaklumkan tidak semua yang dijemput ke sesi libat urus itu menghadirkan diri termasuk parti politik Muda dan Gerakan Media Merdeka (Geramm).

Jelasnya, sekitar 79 badan dijemput, tetapi hanya 27 yang hadir antaranya Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), Majlis Peguam, Artikel 19, Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef), Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ), Justice for Sisters dan Legal Dignity.

“Tindakan kerajaan itu bertujuan untuk membendung penipuan dalam talian, buli siber dan jenayah seks terhadap kanak-kanak.

“Rakyat Malaysia juga mengalami kerugian lebih RM500 juta akibat penipuan di Facebook pada tahun lalu dan langkah itu tidak akan menjejaskan hak kebebasan bersuara yang dijamin oleh perlembagaan,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!