10 pasar awam MBAS bakal dinaik taraf gred A
ALOR SETAR - Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) kini dalam proses untuk meningkatkan gred sepuluh pasar awam di daerah Alor Setar, Pokok Sena dan Kuala Kedah ke gred A ataupun lebih baik berbanding tahun-tahun sebelum ini.
Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mohd Yusri Md Daud berkata, perkara tersebut dilakukan bagi menyahut pelancaran Kempen Pasar Awam Bersih oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada tahun ini.
“Di bandaraya ini ada sepuluh buah pasar awam dan setiap daripadanya masih belum lagi mencapai gred A. Hanya empat sahaja gred B iaitu Pasar Besar Alor Setar, Pasar Teluk Wan Jah, Pasar Simpang Kuala dan Pasar Pokok Sena dan sudah tiba masanya untuk kita tingkatkan status kepada gred A.
“Baki pasar awam lain pula masih lagi dalam kategori C. Bagi meningkatkan gred pasar-pasar ini ada beberapa elemen yang perlu diberikan perhatian antara reka bentuk, fasiliti, penyelenggaraan dan kebersihan, pengurusan air sisa, faktor kesihatan dan keselamatan yang melibatkan tanggungjawab MBAS, peniaga dan juga pengguna,” katanya pada sidang akhbar pada Khamis.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kempen Pasar Awam Bersih 2024 MBAS di Tapak Pasar Awam Simpang Kuala, di sini.
Enam lagi pasar awam yang terdapat dalam kawasan MBAS adalah Pasar Taman Nuri, Pasar Pekan Cina, Pasar Simpang Empat, Pasar Kota Sarang Semut, Pasar Langgar dan Pasar Kampung Berjaya.
Jelas Mohd Yusri, MBAS kini dalam proses untuk melihat dan meningkatkan fasiliti di setiap pasar awam ini yang majoritinya adalah rekaan lama kepada lebih baik secara berperingkat.
Menurutnya, elemen moden dan inovasi juga bakal dipraktikkan di pasar-pasar awam di bawah seliaan MBAS bagi membuka minda masyarakat selain mengharapkan maklum balas daripada semua pihak akan kempen tersebut mencapai matlamat.
“Bila nak masuk ke pasar ini, semua pengguna akan berurusan secara bayar tunai yang lebih pantas dan mudah, elemen seperti ini yang akan kita uar-uarkan.
“Bagi perkara ini kita akan buat satu lagi program bagi menggalakkan pengguna berurusan tanpa tunai pada Ogos hingga Disember ini khususnya di tempat-tempat yang menjadi tumpuan ramai,” ujarnya.
Tambahnya, peruntukan yang diterima daripada kerajaan pusat dan MBAS akan digunakan untuk menaiktaraf pasar raya awam malah beberapa kawasan seperti Simpang Kuala telah menjadi bandar baru dan tumpuan penduduk luar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!