Negeri Sembilan perkenal beras jenama sendiri

Jalaluddin (tengah) ketika menyerahkan jualan Beras Perpatih kepada pembeli yang hadir pada Negeri Sembilan Fest 2024 di Dataran Nilai.
Jalaluddin (tengah) ketika menyerahkan jualan Beras Perpatih kepada pembeli yang hadir pada Negeri Sembilan Fest 2024 di Dataran Nilai.
A
A
A

NILAI - Kerajaan Negeri Sembilan memperkenalkan jenama beras sendiri yang dikenali sebagai 'Perpatih' bagi memenuhi permintaan rakyat di negeri ini sekali gus dapat membangunkan industri padi di sini.

Exco Kanan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, beras berkenaan akan mula dijual menerusi Jualan Negeri Sembilan Prihatin di seluruh Negeri Sembilan mengikut jadual yang ditetapkan.

"Bekalan beras ini kita perolehi daripada pesawah penanaman padi di Londah, Gemas; Juasseh,Kuala Pilah; Jelebu dan beberapa kawasan lain dengan keluasan keseluruhan 580 hektar.

"Secara amnya kita mempunyai sekitar 1,200 hektar kawasan penanaman padi namun masih belum ditanam secara keseluruhan kerana terdapat beberapa perkara yang dalam tindakan antaranya kemudahan infrastruktur dan perparitan yang sedang dinaik taraf," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan beras Negeri Sembilan 'Beras Perpatih' di Negeri Sembilan Fest 2024 di Dataran Nilai pada Khamis.

Ujarnya, kawasan berkenaan akan dijadikan lokasi penanaman padi secara berperingkat dalam tempoh tertentu sehingga negeri ini mampu membina kilang beras sendiri pada masa akan datang.

"Untuk jangka masa panjang, selepas masalah penawaran dan permintaan beras ini stabil, insya-ALLAH beras ini akan mula dipasarkan di kedai-kedai di dalam Negeri Sembilan.

"Beras Perpatih ini akan dijual dengan harga RM26 bagi 10 kilogram manakala RM13 bagi lima kilogram yang juga diedarkan melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Jalaluddin berkata, bagi memastikan bekalan beras negeri sentiasa berterusan, pihaknya mengambil beberapa langkah termasuk membaiki infrastruktur ladang, sistem pengairan dan program transformasi teknologi termasuk penggunaa dron bagi tujuan pembajaan dan racun.

"Selain itu, kerajaan Negeri Sembilan juga mengambil beberapa langkah progresif dan berterusan untuk jangka masa sederhana. Kita turut menjalinkan kerjasama bersama syarikat swasta dengan mewujudkan Pusat Pengumpulan Padi di Melang, Kuala Pilah," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!