'Saya sedih, amat marah atas pembunuhan Ismail Haniyeh'
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Usaha dan semangat juang tinggi pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh dalam memperjuangkan pembebasan Palestin serta menentang penjajahan Israel seharusnya dicontohi oleh setiap pejuang kemerdekaan.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pemergiaan Haniyeh yang juga Ketua Biro Politik Hamas itu memberi kesedihan mendalam baginya.
Tokoh politik berusia 99 tahun itu dalam masa sama juga turut mengakui bertuah dan bangga dapat berkenalan dengan lelaki yang lembut dalam tutur kata, namun memiliki hati seperti 'singa' tersebut.
"Saya berasa sangat sedih dan amat marah atas pembunuhan Ismail Haniyeh ini.
"Beliau merupakan seorang yang mengagumkan dengan keberaniannya membela rakyatnya jelas berpunca daripada hati nurani yang bersih dan berpandukan kompas moral yang berteraskan kemanusiaan dan keyakinan agama.
"Rakyat Palestin dan seluruh dunia kehilangan pemimpin dan pejuang kebebasan," katanya menerusi surat ucapan takziah yang dikongsikan di Facebook pada Khamis.
Kumpulan Hamas pada Rabu mengesahkan pemimpin politiknya, Haniyeh terkorban dalam serangan Israel ketika beliau mengunjungi Iran bagi menghadiri majlis mengangkat sumpah Presiden Masoud Pezeshkian pada Selasa.
Bagaimanapun, setakat ini tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab terhadap serangan tersebut.
Dr Mahathir menerusi surat sama juga turut mengecam Israel dan penyokongnya dengan menggelar mereka sebagai hipokrit dan pengganas sebenar.
Sambil menyifatkan Israel sebagai negara penyangak dan pelaku pembunuhan beramai-ramai, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, apa yang berlaku kepada Haniyeh menunjukkan keangkuhan dan kekejaman rejim Zionis.
“Namun, media Barat dan beberapa pemimpin mereka terus mengutuk Hamas dan Ismail sebagai pengganas, walhal mereka berjuang menentang - Benjamin Nethanyahu, Angkatan Pertahanan Israel dan peneroka haram Yahudi - yang selama beberapa dekad telah melakukan tindakan keganasan terhadap rakyat Palestin," katanya.
Beliau menambah, sikap munafik barat dan seteru mereka sememangnya memualkan apabila ada dalam kalangan pemimpin yang bertamadun sendiri melabel Haniyeh, Hamas dan pejuang kemerdekaan Palestin yang lain sebagai pengganas.
"Kepada keluarga Haniyeh, terimalah ucapan takziah saya yang sedalam-dalamnya atas kehilangan seorang lelaki yang luar biasa.
“Kepada Hamas dan rakyat Palestin, anda telah kehilangan seorang pemimpin yang hebat, seorang yang berani dan berpegang pada keyakinan.
"Semoga ALLAH SWT mengampuninya, memberikannya jannah dan menempatkannya di kalangan orang-orang yang soleh.
"Dari sungai ke laut, Palestin akan merdeka," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!