Kurangkan lampu isyarat di Lebuhraya Ipoh-Lumut dibawa ke KKR

Saarani (tengah) melawat reruai selepas menyempurnakan perasmian Bazar Buku Perak di ICC pada Khamis.
Saarani (tengah) melawat reruai selepas menyempurnakan perasmian Bazar Buku Perak di ICC pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak akan mengemukakan cadangan kepada Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Pengangkutan untuk mengurangkan jumlah lampu isyarat di Lebuhraya Ipoh-Lumut bagi melancarkan lagi aliran trafik di laluan berkenaan.

Model tersebut berjaya dilakukan di Jalan Tambun, Ipoh yang menyaksikan lampu isyarat diganti dengan persimpangan pusingan-U sekali gus mempercepatkan perjalanan ke Bandar Sunway dan kawasan sekitarnya.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perbincangan lanjut perlu dilakukan dengan pihak-pihak berkaitan kerana jalan tersebut merupakan jalan persekutuan.

"Kita menerima cadangan tersebut tetapi kita perlu berbincang lanjut dengan JKR (Jabatan Kerja Raya). Idea tersebut baik untuk mengurangkan lampu isyarat. Kita akan kemukakan cadangan tersebut.

"Pada kebiasaannya jalan-jalan utama ini di bawah kerajaan Persekutuan dan jalan itu (Lebuhraya Ipoh-Lumut) memang jalan persekutuan," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Bazar Buku Perak di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC) pada Khamis.

Pada 8 Disember tahun lalu, Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pernah menyentuh mengenai cadangan tersebut ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Saarani (dua dari kiri) melawat gerai pameran selepas menyempurnakan perasmian Bazar Buku Perak.
Saarani (dua dari kiri) melawat gerai pameran selepas menyempurnakan perasmian Bazar Buku Perak.

Menurut Mohammad Nizar, JKR Perak sedang melakukan kajian untuk mengurangkan lampu isyarat di sepanjang laluan Lebuhraya Ipoh-Lumut bagi melancarkan lagi aliran trafik di jalan persekutuan itu.

Artikel Berkaitan:

Ketika ini pihaknya melihat keperluan untuk menyahaktifkan 15 lampu isyarat daripada 32 yang sedia ada malah JKR juga sedang melihat keperluan untuk menggantikan kaedah persimpangan lampu isyarat sedia kepada kaedah persimpangan laluan pusingan-U sebagaimana yang dilaksanakan di Tambun.

Sementara itu mengenai Bazar Buku Perak, Saarani berkata, penganjuran kali ini menyaksikan penyertaan 70 reruai yang terdiri daripada 69 pempamer tempatan dan satu pempamer dari Indonesia.

Katanya, penganjur juga menetapkan sasaran kehadiran melebihi 30,000 pengunjung sepanjang empat hari acara ini berlangsung.

"Namun saya yakin sasaran ini boleh dicapai dengan mudah memandangkan sambutan yang memberangsangkan daripada orang ramai pada acara serupa pada tahun-tahun sebelumnya.

"Bazar Buku Perak 2024 merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan negeri dalam merealisasikan Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat," katanya.

Beliau berkata, program itu juga merupakan satu daripada 18 Flagship Perak Sejahtera 2030,yang bertujuan meningkatkan tahap pendidikan dan kesejahteraan rakyat Perak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!