Kerajaan setuju buka semua kertas siasatan kematian Teoh Beng Hock
PUTRAJAYA - Kerajaan bersetuju untuk polis membuka semula kertas siasatan berhubung kematian mendiang Teoh Beng Hock.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memberi jaminan siasatan kali ini akan dilaksana secara telus dan adil tanpa campur tangan mana-mana pihak.
"Ia khususnya mengambil kira pandangan Mahkamah Rayuan pada 5 September 2014 berhubung kes ini," katanya menerusi hantaran di laman sosialnya pada Khamis.
Beng Hock, 30, ditemui mati di bahagian koridor tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam yang ketika itu menempatkan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di tingkat 14.
Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) kes itu pada 2011, memutuskan kematiannya kerana membunuh diri berikutan siasatan yang dijalankan SPRM.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 2014 menolak keputusan terbuka yang dibuat koroner, sebaliknya memutuskan Beng Hock mati selepas jatuh dari bangunan yang disebabkan tindakan menyalahi undang-undang oleh seorang atau beberapa orang yang tidak dikenali, termasuk pegawai SPRM.
Terdahulu, Anwar meluangkan masa bertemu dengan keluarga mendiang yang diwakili oleh ibu bapanya, Teng Shuw Hoi dan Teoh Leong Hwee, Teoh Lee Lan (adik) serta anak, Teoh Er Jia.
"Saya mendengar segala keluhan dan beberapa permintaan daripada pihak keluarga.
"Saya telah lama mengikuti rapat kes ini dan memahami kesedihan serta penderitaan keluarga yang telah sekian lama memperjuangkan keadilan buat mendiang," katanya.
Pada November 2020, polis dilapor membuka semula kertas siasatan Beng Hock, di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan (Kurungan Salah).
Kementerian Dalam Negeri menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen, memaklumkan kertas siasatan sebelum ini telah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara pada 24 Februari tahun sama dan PDRM diminta untuk meneruskan siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!