PM ucap tahniah kejayaan Pearly-Thinaah ke separuh akhir Olimpik Paris

Beregu wanita badminton negara, Pearly Tan dan M. Thinaah ketika beraksi menentang beregu wanita Korea Selatan, Kim So Yeong dan Kong Hee Yeng dalam acara badminton Sukan Olimpik Paris 2024, di Arena Porte De La Chapelle pada Khamis. Foto Bernama
Beregu wanita badminton negara, Pearly Tan dan M. Thinaah ketika beraksi menentang beregu wanita Korea Selatan, Kim So Yeong dan Kong Hee Yeng dalam acara badminton Sukan Olimpik Paris 2024, di Arena Porte De La Chapelle pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Pearly Tan-M Thinaah kerana menjadi beregu badminton wanita pertama negara mara ke separuh akhir Sukan Olimpik.

Menerusi catatan di laman Facebook rasmi beliau, Perdana Menteri turut mendoakan kejayaan beregu ranking ke-12 dunia itu pada temasya Olimpik Paris 2024.

"Alhamdulillah, tahniah buat dua pejuang hebat cetus sejarah menjadi beregu wanita Malaysia pertama layak ke separuh akhir di Olimpik.

"Kekal tenang serta fokus dan semoga beroleh kejayaan!” katanya.

Pada aksi suku akhir di Porte de La Chapelle Arena, Pearly-Thinaah menewaskan Kim So Yeong-Kong Hee Yong dari Korea Selatan yang juga pasangan ranking ke-10 dunia dengan 21-12, 21-13.

Pearly-Thinaah akan bertemu beregu nombor satu dunia dari China Chen Qing Chen-Jia Yi Fan pada pusingan separuh akhir nanti.

Beregu negara hanya sekali layak ke suku akhir Sukan Olimpik iaitu di Rio 2016 apabila pasangan Vivian Hoo-Woon Khe Wei tewas kepada juara acara itu Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!