Cakna sejarah pembebasan Palestin - Yadim
SHAH ALAM - Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) akan meningkatkan program pencerahan dan bicara ilmu tentang sejarah perjuangan membebaskan Palestin, terutamanya kepada pelajar sekolah.
Timbalan Yang Dipertuanya, Profesor Madya Dr Adi Anuar Azmin berkata, langkah tersebut diambil bagi meningkatkan kesedaran masyarakat negara ini agar mereka lebih cakna akan isu berkenaan.
Menurutnya, ejen dakwah Yadim seperti sukarelawan, rakan siswa, rakan belia dan sebagainya boleh berperanan menyebarkan maklumat dan menggerakkan usaha berkenaan di pelbagai peringkat.
"Ini boleh dijayakan menerusi penganjuran seminar, forum, kempen kesedaran dalam talian dan sesi bicara ilmu mengenai perkara ini di pelbagai peringkat dari sekolah hingga ke institusi pendidikan tinggi.
"Badan dakwah ini percaya, pendekatan yang pelbagai menangani isu ini mampu meningkatkan kesedaran masyarakat negara ini agar mereka lebih cakna akan isu ini," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Kumpulan Hamas pada Rabu mengesahkan pemimpin politiknya, Ismail Haniyeh terkorban dalam serangan Israel ketika beliau mengunjungi Iran bagi menghadiri majlis mengangkat sumpah Presiden Masoud Pezeshkian pada Selasa.
Bagaimanapun, setakat ini tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab terhadap serangan tersebut.
Sementara itu, Adi dalam kenyataan sama menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Ismail Haniyeh dan percaya kehilangan beliau sudah pasti amat dirasai pendukung perjuangan membebaskan Masjidil Aqsa dan Palestin.
Beliau berkata, perilaku tidak bertamadun ini bukan hanya menambah ketegangan tetapi juga mengancam untuk menggagalkan sebarang peluang untuk rundingan damai dalam masa terdekat di Tebing Barat.
"Kehilangan pemimpin pejuang Hamas, Ismail tidak sewajarnya hanya diratapi, sebaliknya para pendukung perjuangan membebaskan Palestin perlu mengambil semangat untuk menggiatkan lagi usaha tersebut menggunakan pelbagai pendekatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!