Guru Besar SK Senaja disahkan antara mangsa rentung di Pitas

Raisin (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang anak Allahyarham di Kampung Blok 5, Pitas.
Raisin (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang anak Allahyarham di Kampung Blok 5, Pitas.
A
A
A

KOTA KINABALU - Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin mengesahkan salah seorang mangsa yang rentung dalam kebakaran di Kampung Blok 5, Pitas, merupakan Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Senaja, Pitas.

Menurutnya, Abdul Malik Mad Tasin, 54, terkorban bersama anak bongsunya, Nur Adriana Qistina, 11, dalam kejadian tersebut.

"Warga Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) iaitu Guru Besar SK Penaja, Pitas turut terkorban bersama anak bongsunya, dalam kebakaran ini.

"Saya telah ke Pitas untuk menziarahi waris Allahyarham bagi mewakili Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan pihak KPM mengucapkan takziah serta simpati kepada pihak keluarga," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Katanya lagi, punca kejadian masih belum diketahui dan kini dalam siasatan pihak berkaitan.

Dalam kejadian itu, difahamkan, isteri mangsa iaitu Afnah Tundan dan dua lagi anak mereka, Nur Ika Afmaleena dan Nurattyqah sempat keluar dengan melompat dari tingkap rumah.

Namun salah seorang daripada anaknya mengalami kecederaan patah kaki dan telah menerima rawatan sebelum dibenarkan keluar daripada hospital.

Mereka kini berehat di rumah saudara terdekat.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, tiga termasuk seorang lagi ahli keluarga mereka, Salleh Onding, berusia 60-an ditemukan rentung manakala tiga lagi cedera dalam kejadian kebakaran rumah di kampung tersebut.

Kebakaran yang bermula kira-kira jam 2 pagi itu turut menyebabkan dua kenderaan jenis Perodua Kembara dan Proton Waja terbakar 100 peratus.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!