'Siapa yang menang, tolong bela nasib kami' - Peneroka

Antara rumah peneroka di Jeram Tekoh, Gua Musang. Gambar kecil: Dari kiri; Mohd Khazali, Fauzi dan Saud.
Antara rumah peneroka di Jeram Tekoh, Gua Musang. Gambar kecil: Dari kiri; Mohd Khazali, Fauzi dan Saud.
A
A
A

GUA MUSANG - Lebih 300 peneroka di Jeram Tekoh di sini, merayu wakil rakyat yang bakal memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri nanti membantu mereka menyelesaikan isu geran tanah ladang dan rumah.

Peneroka yang juga ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR), Fauzi Awang, 65, berkata, mereka ialah peneroka asal bawah Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) sejak tahun 1979.

“Kami tinggal di sini sudah 45 tahun sehingga tiga ke empat generasi dengan masing-masing mengusahakan ladang kelapa sawit seluas 4.4 hektar.

“Bagaimanapun, kami amat kecewa apabila tidak mendapat geran tanah bagi ladang atau rumah sekali pun setelah sekian lama meneroka.

“Jadi, sesiapa pun yang akan menang kerusi DUN itu nanti diharap akan membantu membela nasib kami,” katanya ketika ditemui pemberita di Jeram Tekoh di sini pada Khamis.

Fauzi (dua dari kiri) kerap bertemu peneroka yang mahukan geran tanah dan rumah di Jeram Tekoh, Gua Musang.
Fauzi (dua dari kiri) kerap bertemu peneroka yang mahukan geran tanah dan rumah di Jeram Tekoh, Gua Musang.

Menurut Fauzi, perkara itu sudah pun kerap kali diutarakan dalam Mesyuarat JKKR bersama Kesedar, namun tidak menemukan penyelesaian kerana isu pemilikan tanah yang ada kaitan dengan kerajaan negeri.

Berikutan itu, seorang lagi peneroka, Saud Hassan, 79, turut meminta kerajaan negeri untuk bersama-sama membantu dalam menyelesaikan isu terbabit.

Artikel Berkaitan:

“Sudah lama sangat kami berharap dan belum ada pihak yang dapat membantu menyelesaikannya.

“Bahkan, ramai peneroka asal yang sudah pun meninggal dunia, menunggu geran tanah ladang dan rumah yang tidak kunjung tiba,” katanya.

Sementara itu, Mohd Khazali Zakaria, 72, turut mencadangkan elaun bantuan sara hidup RM1,000 yang diterima pihaknya dinaikkan kepada RM1,500.

“Elaun RM1,000 tersebut tidak pernah dinaikkan selama tempoh 10 tahun sejak 2014.

“Masa kini, kos sara hidup meningkat, jadi kami berharap kos tersebut dinaikkan bagi membantu kami untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

Sebelum ini, akhbar melaporkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah menerusi Kesedar meluluskan projek pembangunan Pusat Pertumbuhan Desa (PPD) Kedua di Sungai Asap, Gua Musang dengan belanja RM20.7 juta.

Projek tersebut bertujuan memberikan generasi kedua dan ketiga peneroka memiliki kediaman yang selesa dan kondusif.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!