'Kenapa tak buat masa wakil rakyat BN perintah Nenggiri' - Sanusi
ALOR SETAR - Pas menempelak Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas cubaan memancing undi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri apabila membuat pelbagai tawaran pembangunan.
Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerusi berkenaan sememangnya diterajui pemimpin Barisan Nasional (BN) sejak beberapa penggal, namun DUN berkenaan seolah dipinggirkan sebelum ini ketika bawah wakil rakyat BN.
Menurutnya, Pas tidak pernah menang di DUN berkenaan dan hanya sekali PN berjaya merampas kerusi tersebut pada pilihan raya lepas.
“DUN tersebut sejak merdeka dimenangi BN. Tiba-tiba Presiden BN cakap kalau menang di situ akan buat macam-macam sehingga tujuh atau lapan tawaran.
“Kenapa tak buat masa wakil rakyat BN perintah, baru kalah sekali dan terus datang tawar macam-macam. Masa tujuh lapan penggal wakili penduduk situ, kenapa tak buat?
“Saya pun pening dengan dia (Ahmad Zahid) ni. Sekarang baru nak buat macam-macam. Masa perintah dulu tak buat, duduk diam saja,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan kempen kibar Jalur Gemilang dan pelepasan konvoi Jiwa Merdeka di Wisma Darul Aman pada Khamis.
Pada Isnin, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dilaporkan berkata, Nenggiri akan berubah wajah dalam tempoh setahun jika rakyat memberi mandat kepada BN pada PRK DUN Nenggiri 17 Ogos depan.
Katanya, kerusi DUN Nenggiri perlu kembali kepada BN dan isu pembangunan di kawasan itu akan terjaga jika gabungan politik berkenaan menang pada PRK tersebut.
Ditanya mengenai persediaan PN di DUN berkenaan, Sanusi tegaskan, isu calon Pas atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mewakili PN tidak menimbulkan masalah atas kesepakatan yang dicapai.
“Tak ada isu berbangkit, calon di Kelantan dan Terengganu PN guna logo Pas. Uniklah sedikit (berbanding Kedah).
“Calon (kouta) dari Bersatu, bukan dari Pas, jadi Timbalan Ketua Pemuda Pas Gua Musang, Mohd Rizwadi Ismail keluar Pas dan sertai Bersatu.
“Bersatu-Pas atau Pas-Bersatu, tak ada masalah. Sama seperti UMNO-DAP dan DAP-UMNO tak ada masalah juga,” jelasnya.
Mengulas sama ada kemelut Pas-Gerakan yang belum berkesudahan akan memberi kesan kepada PRK Nenggiri, Menteri Besar Kedah itu yakin tindakan Gerakan didorong oleh usaha mengekalkan undi serta mengambil hati pengundi Cina.
“Saya rasa Gerakan hanya mahu ambil hati dan jaga pengundi Cina agar terus bersama mereka, sebab itu mereka pertahankan isu-isu masyarakat Cina.
“Politik negara ini berdasarkan kaum dan kepentingan komuniti, contohnya UMNO, Pas, Bersatu fokus orang Melayu. Gerakan, DAP masyarakat Cina dan MIC, IPF pula India. Kalau nak undi mereka, kena bertahanlah sama ada isu dipertahankan itu betul atau tidak sudah jadi nombor dua,” ujarnya.
Menurutnya, sebaliknya Pas konsisten dengan dasar yang mempertahankan kebenaran dan perbuatan salah tetap menjadi kesalahan.
“Inilah gunanya parti. Kalau ikut saja kehendak orang ramai, tiada jati diri. Itu populis. Ikut saja kehendak orang. Macam mana nak memimpin.
“Orang berjuta, pemimpin seorang. kalau seorang ikut berjuta tak gila? Orang berjuta itulah kena ikut seorang, itulah kepimpinan memimpin. Pemimpin tak semestinya ikut suara rakyat
“Suara rakyat bukan suara keramat. Suara keramat ialah suara kebenaran,” jelasnya.
Sebelum ini, Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong dilaporkan berkata bahawa parti itu tidak teragak-agak keluar daripada PN dan kekal teguh menyokong serta mempertahankan usaha sekolah Cina mengumpul dana walaupun terdapat ancaman tidak munasabah daripada sekutunya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!