Legasi peninggalan Ismail Haniyeh bakal ancam Israel
SHAH ALAM - Pemergian bekas Perdana Menteri Palestin dan juga Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh tidak akan menguncupkan perjuangan membebaskan tanah Palestin, sebaliknya ia bakal menjadi ancaman besar kepada rejim Israel di masa akan datang.
Pemerhati Politik Antarabangsa, Mohd Nasaie Ismail berkata, rakyat Palestin mampu muncul dengan pelbagai teknologi baharu selain membawa kesedaran di negara Barat mengenai kekejaman Israel.
Menurutnya, legasi peninggalan pasca Haniyeh itu akan membawa bahaya rejim Zionis dan membawa penyatuan bangsa rakyat Palestin.
“Selepas kematian Haniyeh ini akan munculnya generasi ketiga yang lebih canggih, lebih hebat perlawanannya yang pastinya tidak akan dijangkau oleh Israel terhadap generasi ini yang berjaya membina hubungan antarabangsa.
“Rakyat Palestin sangat tinggi dari segi pendidikan sebab itu pada hari ini mereka muncul dengan teknologi-teknologi baharu.
“Generasi ketiga pasca ini Haniyeh lebih berbahaya kepada Israel,” katanya dalam program Interviu bertajuk Hamas Selepas Haniyeh yang dihoskan oleh Haizir Othman di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, menurut Mohd Nasaie, kematian Haniyeh akan membina lebih banyak kesatuan dan gerakan politik dalam pembebasan Palestin.
Tambah beliau, kebanyakan generasi baharu Palestin semakin pintar dan mempunyai pelbagai potensi sehingga mampu memberi kesan buruk terhadap Israel.
“Mereka ialah generasi berpendidikan kerana kebanyakan anak-anak pelarian ini berada di Britain, Jerman, Amerika Syarikat dan termasuk di Malaysia yang mana mereka terdiri daripada golongan saintis, jurutera serta ahli perniagaan yang hebat.
“Anak-anak ini akan balik sama ada secara fizikal atau tidak bagi membantu perjuangan pembebasan Palestin dari luar dan dalam yang pasti kesannya akan lebih buruk kepada Israel,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!