Olimpik Paris: Aaron-Wooi Yik mara ke separuh akhir
GILIRAN Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik membuktikan kemampuan mereka apabila berjaya melangkah ke pusingan separuh akhir Sukan Olimpik Paris 2024 selepas menundukkan pasangan India di ranking ketiga dunia, Chirag Shetty-Satwiksairaj Rankireddy pada Khamis.
Kejayaan itu meneruskan hari gemilang kem badminton negara selepas beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah turut mara ke separuh akhir menundukkan pasangan Korea Selatan, Kim So Yeong-Kong Hee Yong.
Perlawanan suku akhir di Porte de la Chapelle Arena itu menyaksikan pertarungan sengit pada set pertama apabila kedua-dua pasangan saling mengejar mata sehingga ke mata 10-10.
Namun, selepas itu Shetty-Rankireddy mula membuka langkah 'dibantu' kesilapan beberapa pukulan beregu negara untuk menamatkan saingan set pertama 13-21.
Bagaimanapun, Aaron-Wooi Yik tidak mudah mengalah apabila tampil dengan persembahan lebih bertenaga pada set kedua untuk menang 21-14 sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.
Tempo permainan semakin rancak pada set ketiga menyaksikan kedua-dua gandingan terus menyaingi mata demi mata dan ternyata pasangan negara yang berada di ranking kelima dunia lebih berhak untuk meraih kemenangan 21-16.
Ia sekali gus menyaksikan Aaron-Wooi Yik mengulangi pencapain yang dilakukan di Tokyo 2020 apabila mara sehingga ke perlawanan separuh akhir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!