Empangan menyusut tiada kaitan pembalakan - Sanusi

Paras air di Empangan Pedu yang menyusut dengan drastik sejak beberapa bulan lalu. Foto Bernama
Paras air di Empangan Pedu yang menyusut dengan drastik sejak beberapa bulan lalu. Foto Bernama
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menolak dakwaan segelintir pihak yang mengaitkan penyusutan takungan air di Empangan Muda dan Empangan Pedu disebabkan oleh aktiviti pembalakan.

Beliau berkata, keadaan itu berlaku disebabkan kemarau yang panjang selain air disalurkan secara serentak untuk kegunaan pertanian, domestik dan industri.

Menurutnya, kedua-dua entiti tersebut tiada kaitan dan adalah sangat tidak wajar untuk mengaitkan sebagai punca takungan empangan menyusut.

Sanusi menampal pelekat konvoi Jiwa Merdeka pada kenderaan jabatan kerajaan di Wisma Darul Aman.
Sanusi menampal pelekat konvoi Jiwa Merdeka pada kenderaan jabatan kerajaan di Wisma Darul Aman.

"Saya tahu ada orang nak salahkan kerajaan negeri, tidak ada pembalakan di 72,000 hektar (Hutan Simpan Ulu Muda), yang ada di luar (kawasan tadahan air) kelulusan lama yang ditebang ikut kuota Jabatan Perhutanan, iaitu 4,200 hektar setahun.

"Bukan di Ulu Muda semuanya, ia libatkan seluruh negeri. Tidak jejaskan, air kurang sebab hujan tak turun, minta kepada ALLAH SWT, jangan salah orang itu orang ini.

"Kita harap ALLAH SWT akan beri rezeki hujan kepada kita dalam masa terdekat agar takungan kembali penuh, bukan untuk Kedah saja termasuk negeri jiran (Pulau Pinang/Perlis)," katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan kempen kibar Jalur Gemilang dan pelepasan konvoi Jiwa Merdeka di Wisma Darul Aman pada Khamis.

Berdasarkan laman web Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) pada Khamis, kadar tiga empangan di bawah seliaan Mada semakin menyusut berikutan keadaan cuaca panas berterusan sejak beberapa bulan.

Artikel Berkaitan:

Paras air di Empangan Muda menyusut dan hanya paras 8.00 peratus, Empangan Pedu sebanyak 39.09 peratus serta Empangan Ahning (81.80 peratus). Purata keseluruhan takungan air bagi ketiga-tiga empangan adalah 43.68 peratus.

Pada Rabu, Mada memaklumkan, Operasi Pembenihan Awan (OPA) selama tiga hari bermula Isnin berjaya mencatatkan penurunan hujan sebanyak dua milimeter (mm) di kawasan tadahan Empangan Muda.

Dalam pada itu, Sanusi berkata, dalam tinjauan dilakukan di Empangan Beris dan Empangan Muda sehari sebelum OPA dilakukan mendapati arus sungai masih deras walaupun kadar takungan air di empangan menyusut.

“Saya turun sendiri untuk melihat aliran air sungai di kawasan berkenaan. Kita ada banyak sungai-sungai yang membekalkan air kepada empangan seperti Sungai Teliang, Sungai Muda, ada banyak anak sungai yang membentuk Sungai Teliang.

"Masalah air memang kita hadapi sudah lama, saya buat tinjauan sehari sebelum pembenihan awan pada Ahad, hujan lebat dengan angin, esoknya pembenihan awan, hujan renyai-renyai.

"Itu ikhtiar, hujan hak ALLAH SWT, yang akan perintah malaikat turunkan hujan bagi rezeki atas kehendak-Nya, kita cuma ikhtiar buat OPA namun kuasa ALLAH SWT tak boleh mengatasi semua perkara," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!