Enam syarikat dari Malaysia perkenal 64 unit SKU baharu
ENAM syarikat dari Malaysia dan satu syarikat pengimport produk Malaysia di Auckland berjaya memperkenalkan 64 unit simpanan stok (SKU) baharu di pameran The Food Show di Auckland, New Zealand, yang berlangsung dari 25 hingga 28 Julai 2024.
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di New Zealand, Mazita Marzuki berkata, melalui program itu sebanyak RM1.5 juta nilai perdagangan sebenar berjaya diraih dengan potensi nilai perdagangan sebanyak RM59 juta untuk tempoh tiga tahun akan datang.
Menurutnya, antara produk agromakanan yang diperkenalkan termasuk keropok ikan, kopi nanas, buah-buahan kering beku, roti canai dan banyak lagi.
“Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia (KPKM) telah membuat penampilan pertama selain mendapat sambutan luar biasa daripada masyarakat setempat menerusi pelbagai aktiviti.
“Permintaan terhadap produk makanan Malaysia di pasaran New Zealand adalah sangat tinggi kerana mempunyai keunikan rasa dan menepati cita rasa masyarakat tempatan selain kualiti produk yang sangat memuaskan.
“Kerjasama erat antara pengeluar Malaysia dan pengimport tempatan di New Zealand dapat membantu memperluaskan jangkauan pasaran selain sinergi budaya daripada aspek gastronomi serta perdagangan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mengulas lanjut, menurut Mazita, program itu turut diadakan di seluruh bandar utama New Zealand dan berharap Malaysia akan terus mengambil bahagian dalam pameran tersebut pada tahun hadapan.
Tambah beliau, penyertaan KPKM dalam pameran makanan itu membuka peluang pasaran baharu untuk memperkukuhkan hubungan perdagangan antara Malaysia dan New Zealand.
“Kami berharap agar lebih banyak produk makanan Malaysia dapat menembusi pasaran global pada masa hadapan," ujarnya.
Dalam pada itu, Mazita berkata, mereka turut mempromosikan program Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 yang akan berlangsung pada 11 hingga 22 September ini.
Menurutnya, promosi tersebut akan menarik minat pengunjung yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang pameran pertanian terbesar di Malaysia.
“Pameran seperti The Food Show adalah platform penting untuk mempromosikan produk Malaysia dan memperkenalkan keunikan rasa Malaysia di persada dunia,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!