30 rumah perkampungan atas air roboh

Keadaan rumah setinggan di perkampungan atas air yang roboh dalam kejadian di Kampung Simunul, Semporna.
Keadaan rumah setinggan di perkampungan atas air yang roboh dalam kejadian di Kampung Simunul, Semporna.
A
A
A

SEMPORNA - Sebanyak 30 rumah setinggan di perkampungan atas air roboh dalam kejadian di Lorong 3, Kampung Simunul, di sini pada Khamis.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 10.15 pagi itu, tiada mangsa dilaporkan cedera.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Air Semporna Noor Jali Maslah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.05 tengah hari.

Katanya, seramai enam anggotanya dan lima anggota dari BBP Semporna dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh tiga kilometer dari BBP Air Semporna.

"Sebaik tiba di lokasi, memang terdapat rumah yang dilaporkan roboh.

"Difahamkan, ketika kejadian tiada ribut berlaku namun disebabkan ada rumah roboh dan ia melarat ke rumah lain yang berhampiran," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Katanya lagi, pasukan operasi kemudian bertindak memastikan semua penduduk yang terlibat dikumpulkan di kawasan Dewan Kampung Simunul.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Semporna Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, sebanyak 30 rumah terlibat iaitu 28 rumah milik warga tempatan dan dua lagi rumah warga asing.

Artikel Berkaitan:

Susulan kejadian itu, Mohd Farhan berkata, pihaknya menerima sebanyak 33 laporan polis untuk tindakan lanjut.

"Seramai 190 warga tempatan dan asing daripada 30 keluarga terjejas namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

"Kejadian dipercayai berpunca dari angin kuat dan ombak besar pada 8 Julai lalu yang menyebabkan dua rumah mengalami kerosakan.

"Akibat kejadian itu, dua rumah yang rosak tersebut telah roboh hari ini dan seterusnya disusuli rumah lain disebabkan struktur rumah yang dibina berdekatan dan bersambung antara satu sama lain," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!