Hidangan haiwan eksotik: Penguat tenaga atau punca bala dunia

Kelawar dikatakan salah satu sumber protein yang menjadi punca merebaknya koronavirus ke atas manusia.
Kelawar dikatakan salah satu sumber protein yang menjadi punca merebaknya koronavirus ke atas manusia.
A
A
A

[VIDEO] LETAKLAH ular masak kicap, sup kelawar, katak goreng tepung atau lipan masak merah di hadapan rakyat Malaysia, sukar untuk kebanyakan kita menjamahnya. Pandang dengan penuh geli mungkin.

Makanan berasaskan haiwan tersebut sangatlah asing di Malaysia. Maka tidak hairan agak sukar kita melihat haiwan itu dijual secara bersahaja dan terbuka di pasar. Begitupun, lain kisahnya di negara pembawa koronavirus, China.

Semua haiwan itu adalah makanan harian mereka malah dijual secara besar-besaran, mungkin tiada kawalan langsung. Tersebarnya koronavirus yang mengorbankan 80 nyawa (setakat 27 Januari 2020) seolah-olah menyerlahkan sisi hitam penduduk negara itu.

Dengan pantas tumpuan teralih ke Pasar Huanan, Wuhan kerana dari situlah virus berkenaan mula dikesan. Laporan pada 27 Januari juga mengesahkan 33 daripada 585 sampel diperoleh dari pasar tersebut mengandungi asid nukleik koronavirus.

Kononnya haiwan eksotik mampu memberi tenaga, pelbagai khasiat kepada penggemarnya namun tiada bukti sahih menyatakan sedemikian. Yang pasti, ramai berkerut dahi, rasa nak muntah melihat daging haiwan itu disiat-siat, dimasak dan dijamah penuh selera.

Dulu mungkin tidak ramai ambil pusing termasuk rakyat China sendiri namun apabila koronavirus dikatakan merebak daripada ular dan kelawar, ramai mula tidak senang duduk, tidak tenteram hatinya.

Jangankan rakyat biasa, selebriti di China juga ada yang menjamah makanan eksotik sebegitu, siap promosikannya lagi di laman sosial.

Semalam, South China Morning Post yang memetik sumber melaporkan, selebriti yang juga seorang hos, Wang Mengyun membuat permohonan maaf atas tindakannya mempromosi daging kelawar tiga tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Menerusi satu video dirakam pada 2017, Mengyun dan seorang lagi wanita mengangkat mangkuk berisi sup kelawar, memandang kamera, tersenyum sambil berkata, “Daging kelawar ini sangat segar dan rasanya seperti daging ayam.”

Mengyun melalui mikroblog peribadinya menyatakan dia tidak mengetahui kelawar boleh menjadi pembawa koronavirus.

Benarkah haiwan eksotik banyak khasiatnya? Tidakkah bahaya menjamah makanan itu? Ahli Medical Mythbuster Malaysia (M3), Dr Nur Hafizah Mahamad Sobri ada jawapannya.

Mitos dan fakta

Nur Hafizah berkata, tiada langsung kajian saintifik yang menyokong dakwaan bahawa haiwan eksotik mampu memberikan khasiat yang tidak boleh didapati dalam makanan lain.

“Contoh mengambil menu yang ada ular dipercayai membantu simptom sakit lutut dan memperbaiki pengedaran darah, tetapi ia sekadar kepercayaan dan testimoni. Tiada kajian saintifik untuk membuktikan kenyataan tersebut.

“Kepercayaan makanan eksotik dikaitkan dengan kebaikan tersebut sebenarnya boleh didapati daripada makanan menu harian,” katanya kepada Sinar Harian.

Dr Nur Hafizah Mahamad Sobri
Dr Nur Hafizah Mahamad Sobri

Menurutnya, mengikut kajian, makanan yang mengandungi sayur-sayuran dan buah-buahan mencukupi boleh membantu pengedaran darah dengan lebih berkesan.

“Ini kerana kandungan antioksidan, rendah lemak tepu dan zat yang membantu merendahkan risiko penyakit jantung seperti potassium ada di dalamnya.

"Kerap makan haiwan eksotik juga bahaya untuk kesihatan kerana haiwan itu mungkin tidak begitu bersih, malah haiwan berbisa juga dikhuatiri menjejaskan kesihatan pengamalnya,” katanya.

Katanya, kebanyakan masalah kesihatan wujud akibat tidak menjaga kebersihan diri dan makanan yang diambil selain bahayanya merangkumi interaksi antara makanan dan ubat.

“Setiap ubat mempunyai interaksi dengan makanan yang boleh menyebabkan ubat tersebut sukar bertindak atau memberi kesan terhadap kadar penyerapan dalam badan. Interaksi ini sudah didokumenkan dalam makanan biasa.

“Ia akan ditulis dan diambil kira waktu pengambilan ubat. Tetapi menu eksotik ini tidak diambil kira dan ini menyebabkan kemungkinan interaksi yang bahaya antara ubat dan makanan tersebut,” katanya.

Pemburu haram

Hakikatnya, Malaysia juga tidak terlepas daripada dikaitkan dengan haiwan eksotik cuma bezanya kes di Malaysia lazimnya melibatkan penyeludupan, bermakna ia dibawa keluar dari negara ini dan tidaklah menjadi makanan seperti di China.

Pegawai Kanan Jaringan Pemantau Perdagangan Hidupan Liar (TRAFFIC) Asia Tenggara, Elizabeth John berkata, kepelbagaian biodiversiti yang tinggi menyebabkan Malaysia antara negara yang menjadi sasaran pemburu dan pedagang haram hidupan liar.

"Biasanya mereka memburu haiwan liar seperti harimau belang, harimau dahan, kucing hutan, beruang madu, tenggiling, pelbagai spesis burung kicau, burung enggang dan pelbagai spesies reptilia.

“Haiwan-haiwan ini diburu kerana beberapa faktor seperti dijadikan makanan (rusa, kijang, babi hutan, ular, kura-kura dan pelbagai reptilia lain), diambil beberapa bahagian untuk menjadi barang perhiasan (gading gajah, kulit harimau).

“Selain itu, ia juga dijadikan bahan untuk perubatan tradisional (hempedu beruang, sisik tenggiling, sumbu badak), malah ada yang menjadikannya haiwan peliharaan,” katanya.

Elizabeth John
Elizabeth John

Menurutnya, berdagang haiwan liar secara haram menyumbang kepada kepupusan hidupan liar dan situasi itu semakin membimbangkan terutamanya sejak menularnya perdagangan tersebut yang dibuat secara dalam talian, sama seperti yang berlaku di China termasuk Wuhan juga.

“Bahkan dalam kes-kes tertentu ia adalah ancaman terbesar terhadap sesuatu spesis hidupan liar contohnya harimau belang di Malaysia. Populasi harimau belang di Malaysia kini dianggarkan kurang daripada 200 ekor sahaja,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia, Profesor Dr Ahmad Ismail berkata, penyeludupan haiwan eksotik berlaku kerana wujudnya permintaan tinggi bagi haiwan itu baik dari dalam mahupun luar negara.

“Untuk mengawalnya, sistem kawalan di semua peringkat mesti dipertingkatkan dari semua aspek seperti undang-undang, prosedur, kemahiran staf, menggunakan teknologi terkini, sistem intipan berkesan dan tingkatkan kesedaran, sokongan penduduk tempatan,” katanya.

Beliau yang juga pensyarah dari Universiti Putra Malaysia berpendapat, pihak berkuasa perlu meningkatkan kemudahan teknologi bagi memerangi aktiviti pemburuan, penyeludupan dan perdagangan haram hidupan liar yang boleh menjadi kepupusan haiwan terancam.

“Malaysia pernah disenaraikan antara 10 hub penyeludupan haiwan secara haram. Berdasarkan kes rampasan di negara kita, ia menyokong kenyataan bahawa Malaysia sebagai hub penyeludupan dan ini perlu dibanteras,” katanya kepada Sinar Harian.

Profesor Dr Ahmad Ismail
Profesor Dr Ahmad Ismail

WHO silap

Setakat artikel ini ditulis, China mengesahkan terdapat lebih 4,000 kes koronavirus di negara tersebut dengan lebih 100 kematian dicatatkan akibat radang paru-paru disebabkan koronavirus.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) yang sebelum ini memaklumkan hanya di China ia dilabelkan sebagai tahap kecemasan mengakui tersilap dalam laporannya.

Menurut jurucakap WHO, Fadela Chaib, hal itu berlaku kerana terdapat kesilapan dalam kata-kata. Kini mereka memaklumkan risiko jangkitan di seluruh dunia kini di tahap tinggi.

Hanya lima kecemasan diisytiharkan dalam dekad lalu iaitu H1N1 pada 2009, wabak Ebola di Afrika Barat pada tahun 2014, wabak polio pada tahun 2014, virus Zika pada tahun 2016 dan wabak Ebola yang sedang berlaku di Republik Demokratik Congo.

Bagaimana virus daripada haiwan boleh merebak kepada manusia? Sekumpulan penyelidik dari China sebelum ini menyatakan virus tersebut datang dari kelawar dan ular sebelum ia merebak kepada manusia.

Mereka mengaitkan keadaan Pasar Huanan (lokasi ular dan kelawar dijual) memudahkan virus masuk ke haiwan lain. Belum dapat dipastikan bagaimana ia masuk ke badan manusia namun ramai percaya, ia kerana daging haiwan itu sendiri dimakan penduduk di sana.

Pasar Wuhan di China yang dikatakan lokasi bermulanya koronavirus. - Foto CNA
Pasar Wuhan di China yang dikatakan lokasi bermulanya koronavirus. - Foto CNA

Dek kerana hebatnya penangan koronavirus dan kaitannya dengan haiwan eksotik, warganet di Malaysia - seperti biasa menonjolkan bakat menyiasat mereka - mula berkongsi video-video makanan pelik dijamah warga China.

Ada berkongsikan video sup kelawar malah lebih menjijikkan, tersebar satu video memaparkan anak kecil diberi makan berudu hidup. Aduh, tengok saja sudah geli apatah lagi membayangkan liuk-lentuk berudu menerjah tekak manusia.

Begitupun, berleluasanya perkongsian berita palsu acap kali meresahkan rakyat. Tak salah berkongsi tapi janganlah dipanjangkan berita tidak sahih. Bukan rakyat saja panik, Kementerian Kesihatan Malaysia juga kelam-kabut dibuatnya membetulkan berita palsu itu.

Hakikatnya, koronavirus seharusnya membuka mata rakyat Malaysia terutama yang gemar menikmati haiwan liar kononnya rahsia penguat tenaga. Meskipun tiada bukti klinikal mengaitkannya, namun kematian 80 warga China sepatutnya menjentik hati mereka.

Ayam, lembu, kambingkan sedap, kenapa dicari ular, kelawar, labi-labi atau tenggiling?

Haiwan liar paling popular diseludup:

1. Tenggiling

Sejak tahun 2000 hingga sekarang, lebih sejuta ekor tenggiling didagangkan di seluruh dunia bagi memenuhi permintaan tinggi di China dan Vietnam.

Dagingnya dikatakan mempunyai pelbagai nutrisi dan baik untuk buah pinggang. Terdapat juga dakwaan mengatakan ia mampu menguatkan tenaga batin lelaki dan membantu memanaskan badan.

Sisiknya juga digunakan dalam perubatan tradisional. Kulit tenggiling pula lazimnya digunakan untuk membuat beg dan kasut. Darahnya dikatakan mempunyai khasiat tersendiri juga.

Pendek kata, keseluruhan tenggiling mempunyai khasiatnya tersendiri maka tidak hairanlah harganya mahal dan sering menerima tempahan.

2. Ular

Paling popular adalah ular sawa, mungkin kerana saiznya yang besar dan dagingnya banyak namun ada mengatakan rasanya juga sedap, dagingnya manis.

Ada mendakwa daging ular sawa mampu memberikan tenaga kepada penggemarnya dan ada juga mendakwa ia menguatkan tenaga syahwat.

Biasanya ular akan disiat kulitnya terlebih dahulu sebelum dimasak. Ular masak kicap dan sup ular merupakan antara hidangan yang paling popular.

3. Katak

Peria katak terbukti mempunyai banyak khasiatnya tapi bagaimana pula dengan katak? Menurut penggemarnya, daging katak mempunyai khasiatnya termasuk mampu mencegah kanser, menyembuhkan luka dengan pantas dan mencegah asma.

Lazimnya bahagian katak yang popular adalah bahagian kakinya, dimasak dengan cara goreng atau sup. Bahkan ada yang mendakwa protein di kaki katak lebih banyak daripada protein pada dada ayam.

4. Biawak

Kalau di Indonesia, biawak biasanya dijadikan sate meskipun ada yang memasaknya dengan cara lain. Fizikalnya yang bersisik, seakan-akan buaya tidak menghalang manusia untuk menikmati dagingnya.

Dagingnya dikatakan lebih liat daripada daging lembu dan kambing namun rasanya dikatakan agak sedap. Penggemarnya mempercayai daging biawak mampu menyembuhkan penyakit gatal-gatal di kulit.

Memakan daging biawak juga dikatakan boleh menyembuhkan asma. Di sebalik kulit biawak yang kasar dan menggerutu, ada orang mempercayai daging haiwan itu mampu mencantikkan kulit wanita, menjadikannya lebih halus.

5. Tikus

Wanita Vietnam percaya dengan memakan tikus, ia menjadikan mereka awet muda tapi bukan semua tikus mereka makan. Biasanya mereka makan tikus yang berada di sawah padi, bukan tikus-tikus yang dijumpai di longkang.

Bagi mereka, tikus bandar atau tikus yang sering berada di longkang adalah kotor tapi tikus sawah tidak kerana hanya makan padi dan minum air sawah. Katanya, rasa daging tikus lebih sedap berbanding daging lembu.

6. Kelawar

Kelawar sebenarnya telah menjadi sumber protein sejak zaman purba. Ia masih diamalkan di beberapa negara kerana kepercayaan khasiat selain daging kelawar buah yang didakwa lazat.

Bagaimanapun pakar kesihatan awam memberi amaran pengambilan daging kelawar ada berisiko mengancam kesihatan awam kerana kelawar adalah pembawa semula jadi untuk virus ebola dan virus marburg.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!