Pecah masuk rumah pegawai polis, dua suspek diburu

Rakaman CCTV menunjukkan dua suspek menggunakan kereta jenis Mercedes model C300 berwarna putih dipercayai memecah masuk rumah seorang pegawai polis di Jalan Seri Damak 22, Taman Sri Andalas, Klang, Selangor pada Rabu. Foto: PDRM
Rakaman CCTV menunjukkan dua suspek menggunakan kereta jenis Mercedes model C300 berwarna putih dipercayai memecah masuk rumah seorang pegawai polis di Jalan Seri Damak 22, Taman Sri Andalas, Klang, Selangor pada Rabu. Foto: PDRM
A
A
A

KLANG - Dua lelaki menaiki kereta jenis Mercedes model C300 berwarna putih dipercayai memecah masuk rumah seorang pegawai polis di Jalan Seri Damak 22, Taman Sri Andalas, di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kedua-dua suspek yang menaiki kereta tersebut dengan nombor pendaftaran QT1200 dipercayai palsu telah parkir di hadapan rumah mangsa jam 2.20 petang.

Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berdekatan, beliau berkata, suspek setelah turun daripada kenderaan dan kemudiannya bertindak mengumpil pintu grill rumah mangsa.

Menurut beliau, setelah mengambil barangan dalam rumah, suspek beredar menggunakan kenderaan yang sama.

"Setelah menerima maklumat daripada jiran sekitar jam 3 petang menyatakan bahawa rumah dipecah masuk, mangsa yang berusia 36 tahun telah pulang ke rumah bagi membuat pemeriksaan.

"Mangsa mendapati grill pintu rumah telah diumpil serta rumah berada dalam keadaan berselerak," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Kata beliau, hasil semakan mendapati barang seperti tiga buah beg tangan pelbagai jenama, sebuah beg duit, sebuah telefon bimbit serta wang tunai sebanyak RM100 telah hilang.

Tambah beliau lagi, mangsa dilaporkan mengalami kerugian sebanyak RM5,000.

Artikel Berkaitan:

Ekoran kejadian itu kata beliau, pihaknya telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah bagi maksud melakukan kesalahan.

Menurutnya lagi, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 14 tahun.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222 bagi membantu siasatan," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!