China alami bulan paling panas dalam sejarah moden
BEIJING - China mengalami bulan paling panas dalam sejarah moden pada bulan Julai, dengan purata suhu bulanan tertinggi sejak negara itu mula mengumpul data komprehensif pada tahun 1961, lapor Agensi Berita Emiriah (WAM) yang memetik pihak berkuasa meteorologi China.
Menurut China Central Television (CCTV), purata suhu di China pada bulan Julai mencapai 23.21 darjah Celsius, mengatasi 23.17 darjah Celsius yang dicatatkan pada Julai 2017.
WAM juga melaporkan bahawa semua wilayah mengalami suhu lebih tinggi daripada biasa, dengan Wilayah Guizhou dan Yunnan mencatat suhu tertinggi untuk bulan Julai. Hunan, Jiangxi, Zhejiang, Fujian, dan Tibet mencatat suhu kedua tertinggi.
Pihak berkuasa meteorologi telah memberi amaran bahawa gelombang haba dijangka berterusan hingga bulan Ogos, yang memberi kesan terutamanya kepada kawasan tengah dan tenggara negara itu.
Suhu diramalkan melebihi 40 darjah Celsius di beberapa kawasan, terutamanya di Jiangsu, Zhejiang, dan Shanghai.
Kepanasan melampau ini dikaitkan dengan pengaruh kuat tekanan tinggi subtropika di kawasan berkenaan yang membawa kepada perkembangan dan intensifikasi cuaca panas di Jianghai, Jianghuai, Jiangnan, dan kawasan lain di China. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!