Perang Arab-Israel dijangka tidak tercetus
SHAH ALAM - Kematian pemimpin kanan Hamas, Ismail Haniyeh dijangka tidak mencetuskan perang Arab-Israel seperti yang berlaku pada tahun 1948 dan 1973.
Pakar Undang-Undang Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Salawati Mat Basir berkata, ini kerana negara-negara berkenaan telah berpecah dengan sebahagian besarnya menjadi penyokong kuat rejim Zionis.
“Pada saya, buat setakat ini memang negara Arab lain tidak mahu campur (perang Palestin-Israel) sebab mereka (negara-negara Arab) telah normalisasi hubungan dengan Israel.
“Negara yang bersungguh-sungguh untuk bantu dan bela Palestin ialah Yemen sahaja. Iran pun sebenarnya tidak, mereka (Iran) serang Israel apabila mereka diserang sahaja.
“Jadi, saya lihat sejarah perang Arab-Israel seperti yang pernah berlaku sebelum ini tidak akan tercetus kerana negara-negara Arab sendiri telah berpecah dan mempunyai agenda masing-masing,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan tercetusnya perang Arab-Israel seperti tahun 1948 dan 1973 susulan pembunuhan Ismail di Teheran, Iran pada Rabu.
Sementara itu, Salawati berkata, Israel ketika ini dilihat bersungguh-sungguh hendak menyerang Iran kerana ingin melebarkan lagi peperangan kerana yakin akan mendapat sokongan Amerika Syarikat (AS).
“Iran sebelum ini juga banyak kali melaungkan amaran akan bertindak balas ke atas Israel tapi apa yang nyata ia tidak berlaku. Jadi kita pun tidak boleh membuktikan sejauh mana Iran akan berperang dengan Israel,” katanya.
Tambahnya, perpecahan negara-negara Arab hingga ada antara mereka yang menjadi penyokong dan ‘kawan baik’ rejim Zionis menjadi punca nasib rakyat Palestin terus tidak terbela.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!