Kematian Ismail Haniyeh bukan noktah perjuangan

Pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh dibunuh oleh rejim Zionis.
Pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh dibunuh oleh rejim Zionis.
A
A
A

TANGGAL 17 Mei 2024 genap 76 tahun berlakunya tragedi Nakba, iaitu perkataan Arab yang membawa maksud ‘malapetaka besar’ menimpa bumi Palestin.

Warga Palestin menggunakan istilah itu untuk merujuk kepada pengusiran paksa dan pembersihan etnik yang dialami nenek moyang mereka pada tahun 1948.

Pada masa itu, Zionis Israel menghalau warga Palestin dari rumah dan tanah milik mereka sehinggakan beribu-ribu penduduk di perkampungan sekeliling negara itu akhirnya menjadi mangsa pembunuhan beramai-ramai.

Dalam buku The Ethnic Cleansing of Palestine, sejarawan dan aktivis sosial, Ilan Pappe menganggarkan hampir sejuta penduduk Palestin diusir dari rumah mereka dan menjadi pelarian ketika penubuhan Israel, iaitu antara tahun 1947 hingga 1949.

Menjelang tahun 1949, hampir 80 peratus penduduk Arab Palestin telah dihalau keluar dari kediaman mereka.

Sejarawan dan pensyarah Rashid Khalidi dalam bukunya The Hundred Years' War on Palestine: A History of Settler Colonial Conquest and Resistance menyatakan bahawa akhirnya hanya satu perlima daripada populasi Arab Palestin yang tinggal, iaitu kira-kira 160,000 orang.

Dan hari ini, sejak konflik terbaharu memuncak bermula 7 Oktober tahun lalu, kira-kira 40,000 orang terkorban termasuk beberapa pemimpin tertinggi Hamas iaitu kumpulan yang memperjuangkan hak pembebasan Palestin.

Komandan tertinggi Hamas antaranya Ayman Nofal, Bilal Al Qedra, Muetaz Eid, Merad Abu Merad, Jawad Abu Shamala, Mohammed Katamish, Zakaria Abu Maamar, Samir Findi Abu Amer, Saleh Al Arouri dan Marwan Issa telah terkorban.

Artikel Berkaitan:

Kelmarin pula, Ketua Biro Politik Hamas merangkap orang nombor satu kumpulan itu, Ismail Haniyeh terkorban dalam serangan di Teheran, Iran ketika beliau menghadiri majlis mengangkat sumpah presiden baharu di negara itu.

Kematian Ismail sudah pastinya bukan noktah perjuangan penduduk Palestin dan nescaya pengorbanan itu merupakan penaik semangat untuk terus berjuang bagi memastikan bumi anbiya itu kembali ke tangan mereka.

Ia selari dengan kenyataan pegawai kanan Hamas, Moussa Abu Marzouk, yang menegaskan pembunuhan Ismail ‘tidak akan dibiarkan tanpa balasan’ dan jurucakap kanan Hamas, Sami Abu Zuhri, menyifatkan pembunuhan pemimpin itu sebagai ‘mencetuskan keadaan lebih serius yang tidak akan mencapai matlamatnya’.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!