Hidup penuh kejutan, bersediakah kita?

Kes pembunuhan Nur Farah Kartini, kontroversi pasangan suami isteri pempengaruh dan kehilangan Albertine Leo antara kes yang mendapat perhatian bulan lalu.
Kes pembunuhan Nur Farah Kartini, kontroversi pasangan suami isteri pempengaruh dan kehilangan Albertine Leo antara kes yang mendapat perhatian bulan lalu.
A
A
A

HAKIKAT hidup penuh dengan plot twist dan kejutan. Kata-kata ini sering didengari oleh masyarakat dewasa ini apabila disajikan dengan hamparan berita mengenai pembunuhan melibatkan kekasih, suami isteri mahupun anak.

Begitu juga berita tentang bapa rogol anak, abang rogol adik, datuk rogol cucu dan macam-macam lagi kisah menggemparkan yang mampu meragut ketenangan jiwa mereka yang melaluinya.

Bukan itu sahaja, berita pemergian orang tersayang secara mengejut turut memberi tamparan hebat buat ahli keluarga yang selama ini menganggap ia mungkin tidak akan berlaku dalam masa terdekat.

Awal Julai lalu, dunia dikejutkan dengan insiden pemain badminton remaja China, Zhang Zhi Jie meninggal dunia akibat serangan jantung ketika beraksi dalam Kejohanan Badminton Remaja Asia di Yogyakarta, Indonesia.

Tiada siapa menduga pemergian remaja berusia 17 tahun itu ke Indonesia adalah perjalanan terakhirnya ke kehidupan abadi.

Kisah menyayat hati, Nur Farah Kartini Abdullah, 25, yang mati di tangan kekasihnya juga adalah mengejutkan. Hilang 10 Julai, lima hari kemudian baru ditemui mayatnya dalam keadaan hampir mereput di ladang kelapa sawit Kampung Sri Keledang, Hulu Selangor.

Dua kisah ini berbeza jalan cerita tetapi penuh tragis, baik kepada mangsa mahupun ahli keluarga.

Jika diimbas kembali peristiwa bulan Julai, banyak juga dipaparkan kes kehilangan orang tersayang.

Artikel Berkaitan:

Antaranya kes kehilangan kanak-kanak perempuan berusia enam tahun di pusat perniagaan Eco Galleria, Iskandar Puteri, Johor Bahru.



Namun kanak-kanak itu telah ditemui disorok di sebuah hotel murah di Batang Kali, Selangor. Kes diklasifikasikan sebagai kes culik.

Berlainan pula kisah kehilangan seorang remaja lelaki sejak 11 Julai lalu apabila berlaku ‘plot twist’.

Muhammad Adi Putra Yusri, 17, dilaporkan berada di rumah rakannya sepanjang kehilangannya dan kini sudah selamat pulang ke rumah.

Ibu bapa buat hebahan mencari anak hilang, rupa-rupanya ada di rumah rakan. Ada juga remaja perempuan lari rumah sebab merajuk tak boleh tukar kursus pengajian.

Selain itu, berita mengenai penyakit yang tidak tercapai dek akal juga boleh memberi kejutan buat sesiapa sahaja yang memikirkan diri begitu sihat, namun disahkan menghidap penyakit jantung, kanser atau tiga serangkai (kencing manis, darah tinggi dan kolesterol tinggi) selepas melakukan pemeriksaan kesihatan.

Realiti kehidupan tidaklah selalu indah, termasuk alam rumah tangga. Siapa sangka kita dikejutkan dengan perceraian pasangan selebriti meskipun dilihat bahagia.

Penulis ada baca kenyataan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bahawa tiada persefahaman, pasangan curang dan campur tangan mentua adalah antara punca utama berlaku perceraian dalam kalangan pasangan berusia antara 35 hingga 39 tahun di negara ini.

Itulah kehidupan, ada pasang surutnya.

Kalau hendak diusik alam pekerjaan pula, individu berjawatan tinggi, gaji bertimbun pun masih mengambil rasuah hingga dicekup Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pada 24 Julai, keluar berita mengenai ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat perkhidmatan pendidikan tinggi bergelar profesor disyaki menyeleweng dana syarikat untuk kepentingan peribadi bernilai RM270,000.

Dipercayai wang itu untuk bayar hutang dan beli kereta serta perbelanjaan peribadi lain.

Tidak dilupakan kisah melibatkan pasangan pempengaruh yang bikin kecoh satu Malaysia! Pasangan itu ditahan ketika memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pada 10 Julai, bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana derma awam dan dibebaskan pada 16 Julai selepas reman berakhir.

Ingatkan selepas tamat reman, mereka ‘duk ontok-ontok’ bak kata orang Negeri Sembilan, sebaliknya berkongsi pengalaman ditahan SPRM, secara ‘live’ di media sosial dengan wajah gembira.

Tiada sifat malu ke? Pesan penulis, jangan normalisasikan perbuatan negatif sebaliknya muhasabah diri.

Kebenaran memang pahit untuk ditelan. Jangan kita hilangkan identiti anak yang baik, menantu yang elok dan rakan yang bagus. Ini kerana jika tersilap langkah, ia beri kesan mendalam, pedih.

Hidup ini penuh kejutan, persoalannya bersediakah kita jika diuji untuk melaluinya. Lebih penting, hargailah kehidupan ini sebelum Izrail datang menyapa!

* Syairah Abd Lajis ialah Penolong Ketua Bahagian Media Sosial

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!