Jangan komplen harga kacang rebus mahal

Kacang rebus mempunyai penggemar tersendiri dan mudah didapati di pasar-pasar malam. Gambar hiasan
Kacang rebus mempunyai penggemar tersendiri dan mudah didapati di pasar-pasar malam. Gambar hiasan
A
A
A

BARU-baru ini kawan Merak Jalanan cukup marah bila balik dari pasar malam. Katanya, dia sangat suka makan kacang rebus, lagi-lagi bila makan panas-panas sambil melepak menonton televisyen.

Tapi katanya, apa yang membuatkan dirinya marah adalah harga kacang rebus itu langsung tidak setimpal dengan kuantiti yang dijual. Setelah dikira, sebungkus yang tidak sampai 20 biji itu berharga RM5. Betul-betul marah kawan Merak Jalanan bercerita.

Tambahnya, ini semua berpunca daripada harga diesel yang meningkat, selain dikaitkan pula dengan gaji pekerja serta kos sara hidup. Itulah sebabnya kacang rebus terlalu mahal sekarang.

Habis juga secawan teh tarik mendengar dia meluahkan perasaan gara-gara kacang rebus pasar malam.

Keesokannya, demi mengubati rasa kecewa, dia membeli tiga kilogram kacang tanah berkulit mentah di pasar raya, semua sekali berharga RM42.

Cukup bangga dia bercerita kepada Merak Jalanan, tapi ada kisah lain di sebaliknya. Rupa-rupanya, ada penyesalan dan pengajaran yang diterimanya hanya disebabkan kacang rebus itu.

Ceritanya, dia mengambil masa selama enam hingga tujuh jam untuk merebus tiga kilogram kacang rebus itu bagi mendapatkan rasa kacang yang empuk sama seperti yang dijual di pasar malam.

Ketika merebus pula katanya, gas memasak habis sehingga dia mengeluarkan wang tambahan RM30 untuk membeli gas. Jadi, keseluruhannya dalam tempoh tujuh jam untuk menghasilkan kacang rebus itu, dia habis RM72!

Artikel Berkaitan:

Disebabkan kejadian itu, barulah dia sedar harga dan kuantiti kacang rebus yang dijual peniaga pasar malam adalah setimpal. Tergelak besar Merak Jalanan mendengarnya.

Pengajaran daripada kisah kacang rebus ini, janganlah kita terus merungut harga jualan peniaga kononnya tidak masuk akal sekiranya kita tidak tahu bagaimana susah payah dan kos yang mereka tanggung untuk menyediakan makanan kegemaran kita itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!