Nurul Azreena akhiri cabaran skuad memanah
CABARAN pemanah wanita negara di Sukan Olimpik Paris 2024 berakhir selepas Nurul Azreena Mohamad Fazil terbukti belum mampu memberi saingan kepada pemanah handalan dunia apabila ditunjukkan jalan keluar pada pusingan penyingkiran 1/32.
Aksi di Invalides yang ditunda daripada semalam kerana cuaca buruk menyaksikan Nurul Azreena tewas 0-6 kepada pemanah Turkiye Elif Berra Gokkir.
Atlet berusia 20 tahun itu memulakan set pertama dengan kekalahan 27-29 mata sebelum dihantui rasa gementar pada set seterusnya yang beliau tewas 22-27 dan 25-27.
Wakil Turkiye itu bakal mencabar Mobina Fallah dari Iran pada perebutan slot ke pusingan 16 terakhir.
Kecewa dengan prestasi hambar, Nurul Azreena berkata, beliau percaya boleh menampilkan prestasi yang lebih baik pada masa akan datang.
Malaysia membariskan tiga pemanah dengan hanya Syaqiera Mashayikh mara ke pusingan kedua atau penyingkiran 1/16 selepas menewaskan Alexandra Mirca dari Moldova 6-0 pada pusingan penyingkiran 1/32 dua hari lepas, namun tunduk 5-6 kepada Ana Luiza Sliachticas Caetano dari Brazil selepas 'shoot-off'.
Semalam, pemanah muda Ariana Nur Diana Mohamad Zairi, 19, memberikan saingan sengit kepada juara dunia 2022 Chiara Rebagliati dari Itali sebelum tewas 5-6 melalui shoot-off pada satu lagi aksi penyingkiran 1/32.
Bagi acara berpasukan wanita, trio negara tunduk 3-5 kepada Indonesia pada Ahad lepas.
Sementara itu, jurulatih merangkap pengarah teknikal skuad memanah negara, Lee Jae-hyung mengakui prestasi pemanah negara masih jauh berbanding pemanah terbaik dunia selain kekurangan persiapan bagi menghadapi temasya terbesar dunia itu.
Menurutnya pemanah negara perlu banyak meningkatkan diri daripada segala aspek seperti kemahiran, latihan dan pengalaman dalam kejohanan.
"Selepas ini kita perlu persiapkan pasukan untuk menghadapi Sukan SEA Thailand tahun depan. Dari situ perlu meningkatkan prestasi sehingga ke tahap Asia dan Olimpik," kata jurulatih berasal dari Korea Selatan itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!