Gajah jantan ganggu penduduk di Jeli ditangkap

Perhilitan Kelantan menangkap seekor gajah liar jantan yang mengganggu penduduk di Kampung Sungai Long, Jeli pada Selasa. Foto Perhilitan
Perhilitan Kelantan menangkap seekor gajah liar jantan yang mengganggu penduduk di Kampung Sungai Long, Jeli pada Selasa. Foto Perhilitan
A
A
A

JELI - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan menangkap seekor gajah liar jantan yang mengganggu penduduk di Kampung Sungai Long di sini pada Selasa.

Pengarahnya, Mohamad Hafid Rohani berkata, tindakan itu dilakukan selepas pihaknya menerima aduan mengenai haiwan liar terbabit yang telah mendatangkan ketakutan kepada penduduk.

"Seramai tujuh anggota dari Pejabat Perhilitan Daerah Jeli dan Unit Tangkapan Gajah (UTG) Negeri Kelantan telah menjalankan pemantauan dan seterusnya berjaya menangkap gajah tersebut.

"Kejayaan operasi itu diharap akan mengurangkan kebimbangan penduduk serta kerugian berterusan yang dialami akibat kemusnahan tanaman dan kerosakan harta benda akibat konflik gajah liar berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut beliau, operasi pemindahan dan pelepasan semula haiwan liar terbabit ke habitat yang lebih sesuai dan selamat akan dilakukan dalam masa terdekat.

Ujarnya, operasi pemindahan akan dilakukan oleh kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang, Pahang.

Mohamad Hafid memberitahu, tangkapan dan pemindahan gajah liar yang mengganggu bukanlah penyelesaian jangka panjang memandangkan kawasan berkenaan adalah berhampiran dengan kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Gunung Basor.

"Anggaran populasi gajah di HSK ini adalah lebih daripada 50 ekor.

Artikel Berkaitan:

"Sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan kepada Jabatan Perhilitan melalui talian 1-800- 88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!