Percaya bomoh masih tebal dalam masyarakat

Wujud sebelum kedatangan Islam ke alam Melayu, bercampur aduk dengan faham animisme, dinamisme dan ajaran agama lain

KEPERCAYAAN kepada bomoh atau ‘ustaz’ ini bertambah apabila dia boleh menyelesaikan masalah yang dianggap mistik termasuk sihir dan masalah kesihatan yang sudah lama dihidap. Foto CANVA
KEPERCAYAAN kepada bomoh atau ‘ustaz’ ini bertambah apabila dia boleh menyelesaikan masalah yang dianggap mistik termasuk sihir dan masalah kesihatan yang sudah lama dihidap. Foto CANVA
A
A
A

KEPERCAYAAN masyarakat di negara kita termasuk bangsa Melayu berkaitan kemampuan tertentu makhluk ghaib untuk memberi manfaat dan mudarat kepada manusia sangat menebal sehingga sebahagiannya sanggup menggunakan khidmat bomoh, dukun atau pawang.

Lihat sahaja apabila seseorang yang digelar bomoh atau ada yang dipanggil sebagai ‘ustaz’ ini, dia diyakini boleh menyelesaikan masalah yang dianggap mistik termasuk sihir dan masalah kesihatan yang sudah lama dihidap.

Bagaimanapun timbul pelbagai persoalan, mengapakah masyarakat begitu teruja dengan hal-hal ghaib ini dan kadangkala taasub dengannya dan bilakah ia bermula?

Bagi merungkai persoalan ini, Sinar Islam Plus menemu bual Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya merangkap Penyelaras Pusat Kajian Kecemerlangan Melayu Universiti Malaya, Dr Ahmad Zahiruddin Mohd Zabidi.

DR AHMAD ZAHIRUDDIN
DR AHMAD ZAHIRUDDIN

Kepercayaan wujud sebelum kedatangan Islam

Menurutnya yang juga penulis buku Khurafat, tahyul dan mistik di alam Melayu, kepercayaan kepada alam dan makhluk ghaib telah diwarisi sejak zaman sebelum kedatangan Islam ke alam Melayu lagi.

Artikel Berkaitan:

“Catatan para ahli antropologi menggambarkan, manusia zaman awal termasuk nenek moyang kita di alam Melayu ini berfahaman animisme iaitu kepercayaan kepada makhluk halus dan roh serta dinamisme yang bermaksud kepercayaan kepada semangat.

“Walaupun tiada wahyu atau panduan agama ketika itu, mereka masih ada akal dan mereka mempersoalkan kejadian fenomena alam yang berlaku seperti hujan, panas dan ribut. Mereka bertanya siapakah yang mencetuskannya?

“Dari situ muncullah konsep sesuatu benda sebagai contoh pokok atau gunung itu ada penunggu, mambang atau semangat serta pendampingnya tersendiri,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam konsep mambang atau semangat itu, manusia tidak boleh membuatkan mereka marah dan mengamuk. Jika tidak, terjadilah bencana alam.

MASYARAKAT dahulu percaya sesuatu benda seperti pokok atau gunung mempunyai penunggu, mambang atau semangat serta pendampingnya tersendiri dan bomohlah sebagai mediator penghubung kepada mereka. Foto CANVA
MASYARAKAT dahulu percaya sesuatu benda seperti pokok atau gunung mempunyai penunggu, mambang atau semangat serta pendampingnya tersendiri dan bomohlah sebagai mediator penghubung kepada mereka. Foto CANVA

“Lalu di sana perlu dibuat pemujaan, sesembahan dan ritual. Bomoh inilah yang menentukan ritual kerana mereka dianggap mediator yang berinteraksi dengan semangat itu.

“Jadi apabila agama Hindu dan Buddha datang, kepercayaan mereka juga melibatkan perkara ghaib ini, ada dewa dewi yang jahat dan baik, ada konsep roh orang mati yang menjadi hantu dan menambah lagi kepercayaan masyarakat ketika itu,” ulasnya panjang.

Hurainya lagi, apabila Islam pula berkembang, kepercayaan kepada perkara ghaib adalah asas ajarannya namun Islam mempunyai disiplin khas untuk memahami alam ghaib yang termasuk dalam asas rukun Iman itu sendiri.

“Apabila Islam datang, ia adalah agama yang paling lewat sampai ke alam Melayu ini, segala nilai yang ada dalam faham animisme, dinamisme, Hindu dan Buddha masih lagi wujud dan sisanya disinkretiskan (dicampur-adukkan) dengan kepercayaan Islam,” jelasnya.

Keliru antara bomoh, perawat patuh syariah

Menjawab persoalan mengapa perkhidmatan bomoh masih ditagih sehingga kini, beliau menjawab, ia sama seperti konsep dalam perniagaan iaitu permintaan dan penawaran.

“Itulah sebabnya amalan mendapatkan khidmat bomoh ini tidak boleh dihapuskan sepenuhnya walaupun ada sebahagiannya telah pupus seperti bomoh hujan atas kesedaran beragama dalam masyarakat.

“Masyarakat kita walaupun sudah didedahkan dengan sukatan pelajaran akidah yang mantap sejak dari sekolah rendah hingga universiti, namun kefahaman berkaitan bomoh tidak patuh syariah ini sering kali disalah fahami.

“Mereka keliru antara rawatan alternatif yang patuh syariah seperti ruqyah syar’iyyah atau rawatan menggunakan herba yang dibolehkan dalam agama Islam dan saintifik dengan rawatan yang menggunakan khidmat jin,” hurainya.

Katanya, tokoh dalam ruqyah syar’iyyah, Syeikh Wahid Abdussalam Bali dalam kitabnya Wiqayatul Insan minal Jinni wasy-Syaithan (Perisai kebal untuk menangkis kejahatan jin dan syaitan) ada memperincikan panduan jelas dalam Islam mengenai rawatan alternatif ini.

Katanya lagi, jumhur ulama turut mengharamkan penggunaan khidmat jin.

“Bahkan Nabi Muhammad SAW sendiri tidak pernah direkodkan dalam mana-mana hadis menggunakan khidmat jin termasuk dalam keadaan darurat seperti peperangan,” katanya.

Kekurangan pada aspek penyampaian

Menurut Dr Ahmad Zahiruddin, sukatan pelajaran dalam sistem pendidikan mengenai akidah sudah agak mantap namun ada kekurangan yang perlu diteliti pada peringkat penyampaian.

“Saya berpendapat perlu ada perbincangan serius dalam kalangan ahli-ahli akademik dan pihak kerajaan mengenai perkara ini.

“Kebanyakannya hanya menekankan satu aspek tanpa membahaskan aspek pelengkapnya. Sebagai contoh, apabila perbincangan mengenai tauhid, kita tidak berbicara mengenai syirik pada masa sama. Sedangkan kita wajib tahu perbandingan kedua-duanya,” katanya.

JAKIM dan Majlis Agama Islam Negeri perlu melatih pendakwah mereka untuk membawa topik perbincangan syirik, tahyul, khurafat dan ajaran sesat kepada masyarakat agar kesedaran mengenainya dapat ditingkatkan lagi.
JAKIM dan Majlis Agama Islam Negeri perlu melatih pendakwah mereka untuk membawa topik perbincangan syirik, tahyul, khurafat dan ajaran sesat kepada masyarakat agar kesedaran mengenainya dapat ditingkatkan lagi.

Ujarnya lagi, Jabatan Kemajuan Agama Islam dan Majlis Agama Islam Negeri perlu melatih pendakwah mereka membawa topik perbincangan ini kepada masyarakat agar kesedaran mengenai syirik, tahyul, khurafat dan ajaran sesat dapat ditingkatkan lagi.

“Jika tiada tindakan serius bagi mengatasinya, maka muncul masyarakat mentauhidkan ALLAH tapi dalam masa sama merasakan tidak mengapa jika kepercayaan dan amalan yang mereka buat ada unsur mensyirikkan-NYA.

“Ini tidak menepati matlamat penurunan wahyu dan Islam kepada Rasulullah SAW,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!