[VIDEO] ‘Kerajaan takut dengan bayang-bayang sendiri’ - Zuraida
SHAH ALAM - Kerajaan pada hari ini didakwa paling takut akan bayang-bayang sendiri selepas mengalami pelbagai kegagalan sehingga mengundang banyak kritikan daripada masyarakat umum.
Ia susulan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang ketika ini mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia, perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta 588.
Timbalan Presiden Muafakat Nasional, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, peraturan baharu yang bakal dilaksanakan bukan sahaja merencatkan perkembangan demokrasi negara tetapi juga merosakkan imej Malaysia di peringkat antarabangsa.
Menurutnya, perjuangan reformis ialah menghapuskan undang-undang drakonian dan bukan mengekalkan serta menambah lebih banyak peraturan sehingga menyekat suara rakyat.
“Hari ini, seorang reformis sudah berada di tampuk pemerintahan negara, sudah tentu kita sebagai rakyat mahu agenda reformasi yang dicanangkan sebelum ini dilaksanakan secara keseluruhannya.
“Ini menunjukkan kerajaan pada ketika ini begitu takut dengan bayang-bayang sendiri dan kegagalan demi kegagalan yang berlaku akan mengundang lebih banyak kritikan daripada masyarakat umum.
“Kerajaan pada ketika ini seolah-olah telah dirasuk ideologi komunis yang bukan sahaja membelenggu kehidupan rakyat tetapi juga cuba menyekat kebebasan berfikir dan bersuara,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, bekas Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) Datuk Ambiga Sreenevasan mendakwa Kerajaan Perpaduan paling diktator dalam sejarah pemerintahan negara kerana tidak memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984, sebaliknya memperkenalkan pelesenan baharu.
Susulan itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kenyataan tersebut disifatkan sebagai hiperbola dan tidak berpijak di bumi nyata selain tersasar jauh daripada konteks sedia ada.
Mengulas lanjut, menurut Zuraida, perkataan diktator itu adalah terlalu lembut untuk disifatkan kepada sebuah kerajaan yang dipimpin oleh golongan reformis palsu.
Tambah beliau, kekecewaan yang timbul daripada hati Ambiga ialah perasaan yang sah dan wajar diambil peduli oleh kerajaan.
Jelasnya, walaupun Fahmi cuba membela kerajaan dengan membuat perbandingan zaman pendemonstran dahulu yang lebih agresif berbanding sekarang di mana mereka dijamu air dan roti, namun kenyataan itu tidak mampu memelihara kebebasan bersuara.
“Sebagai salah seorang yang terlibat dalam gerakan reformasi, saya amat memahami kekecewaan yang dirasai oleh Ambiga.
“Setelah menilai jawapan semberono Fahmi, saya yakin kerajaan semakin lama semakin celaru dan semakin sukar untuk menyorokkan kebejatan yang berlaku dalam pemerintahan mereka pada hari ini.
“Kita tidak mahu ketidakpuashatian rakyat hanya dibalas dengan roti dan air semata-mata, kerana walaupun ia mengenyangkan dan menghilangkan dahaga, namun tidak dapat menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi oleh rakyat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!