'Penjaga kawasan' arah PATI beredar, ada serbuan imigresen
KAJANG - Penahanan dan pemeriksaan pendatang asing tanpa izin (PATI) di sini membongkar arahan 'penjaga kawasan' di grup aplikasi WhatsApp komuniti mengenai serbuan dilakukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), di sini, pada Isnin.
Perkara itu dikesan hasil pemeriksaan telefon bimbit oleh anggota operasi terhadap seorang PATI lelaki warga Indonesia.
Semasa pemeriksaan awal hendak dilakukan, PATI itu dikesan cuba memadam hantaran di grup WhatsApp sebelum disedari anggota operasi.
Lantas itu, rampasan dibuat dan pemeriksaan di telefon bimbit mendapati terdapat makluman daripada seorang warga tempatan yang memaklumkan kehadiran JIM agar warga asing segera beredar.
Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, operasi dilaksanakan pihaknya di 36 premis termasuk kawasan sekeliling di Kajang, Cyberjaya dan Bandar Baru Bangi.
Katanya, operasi bermula jam 2 petang itu menahan 34 PATI termasuk lima wanita hasil pemeriksaan 166 orang.
"PATI yang ditahan terdiri daripada 12 Indonesia, Bangladesh (16), Myanmar (3), Nepal (2) dan seorang India.
"Kebanyakan mereka ini bekerja di restoran dan kedai runcit," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Tambahnya, antara kesalahan yang dikesan ialah masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit sah selain langgar syarat pas.
Tegasnya, kesemua PATI berusia 20 hingga 40 tahun itu dibawa ke Depot Imigresen Semenyih untuk tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!