Anggota JPJ cedera dirempuh lori ketika bertugas

Anggota penguat kuasa JPJ Pahang cedera dirempuh lori ketika menjalankan tugas Op Khas Perdagangan di Kilometer 194.1 LPT1 berhampiran R&R Gambang pada Khamis. Gambar kecil: Wan Mohd Zahari. Gambar hiasan
Anggota penguat kuasa JPJ Pahang cedera dirempuh lori ketika menjalankan tugas Op Khas Perdagangan di Kilometer 194.1 LPT1 berhampiran R&R Gambang pada Khamis. Gambar kecil: Wan Mohd Zahari. Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Seorang anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang cedera dirempuh lori ketika sedang menjalankan tugas Op Khas Perdagangan di Kilometer 194.1 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gambang dekat sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, dalam kemalangan kira-kira jam 5 petang itu, mangsa yang berusia 38 tahun itu cedera di bahagian tangan kiri, tengkuk dan kepala manakala pemandu lori berusia 57 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa sedang menjalankan tugas di lorong kiri yang ditutup untuk lencongan masuk ke R&R Gambang

"Sebuah lori dari arah Kuantan menghala ke arah Kuala Lumpur dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar kenderaan JPJ jenis Ford Ranger yang berada di lorong kiri sebelum merempuh mangsa.

"Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk mendapatkan rawatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, Wan Mohd Zahari berkata, semakan mendapati pemandu lori memiliki tujuh saman pelbagai kesalahan yang belum dijelaskan.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!