Lawatan ke kuil pupuk kefahaman, perpaduan - Unity

Tangkap layar video lawatan peserta daripada JAIPk ke sebuah kuil di Kuala Lumpur, Rabu lalu. (Kanan: Kenyataan media Unity)
Tangkap layar video lawatan peserta daripada JAIPk ke sebuah kuil di Kuala Lumpur, Rabu lalu. (Kanan: Kenyataan media Unity)
A
A
A

IPOH - Global Unity Network (Unity) mengemukakan permohonan maaf terhadap salah faham yang timbul pada program Lawatan Harmoni Terbimbing guru agama dakwah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) ke sebuah kuil di Kuala Lumpur, Rabu lalu.

Unity dalam satu kenyataan memaklumkan program tersebut merupakan salah satu inisiatif pihaknya dalam memupuk kesedaran, kefahaman dan perpaduan antara pelbagai agama di negara ini.

Menurutnya, lawatan ke rumah-rumah ibadat agama lain itu merupakan pelengkap siri kursus Dakwah Harmoni selain topik asas usul fiqah, Qawaid Fiqhiyyah, Maqasid Shariah dan penyampaian Islam kepada bukan Islam.

"Setiap agama adalah tidak sama dan sebagai orang Islam, kita yakin Islam ialah agama yang syumul.

"Justeru, program lawatan harmoni terbimbing ini dijalankan dengan tujuan untuk mengatasi salah faham, prejudis dan memperbaiki salah tanggapan terhadap ajaran Islam sambil menekankan nilai-nilai moral bersama yang dapat diterima oleh semua," katanya.

Sebelum ini, tular satu video yang mana peserta program daripada JAIPk telah mengadakan lawatan ke sebuah kuil hingga menimbulkan salah faham dalam kalangan warganet.

Menurut Unity, pihaknya berhasrat untuk melahirkan guru agama dakwah yang berupaya menjadi ejen penyatuan ummah.

Tambahnya, pihaknya telah menggunakan garis panduan yang ditetapkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Jabatan Mufti Negeri Perlis.

Artikel Berkaitan:

"Program ini dikendalikan oleh Presiden Unity, Shah Kirit Kakulal Govindji dan pasukannya sejak lebih daripada 20 tahun lagi.

"Ia menunjukkan komitmen terhadap keharmonian dan perpaduan sosial yang merupakan asas bagi kestabilan dan kemakmuran negara majmuk," katanya.

Unity berkata, program tersebut membantu memperkukuhkan hubungan antara komuniti dan memastikan keamanan serta keselarasan hidup bersama dengan menghormati adat dan pantang larang masing-masing.

"Unity dengan rendah diri ingin memohon maaf jika ada terdapat salah tanggapan yang berlaku di atas inisiatif ini," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!