Sesi taklimat pelaburan 'jerat' mangsa baharu

Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf
Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kebanyakan pelabur terutama golongan baharu akan mudah terjerat selepas terpengaruh dengan sesi penerangan yang diberikan semasa taklimat dianjurkan oleh syarikat pelaburan tidak wujud.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, ia merupakan modus operandi penipuan pelaburan tidak wujud yang digunakan oleh syarikat pelabur untuk pertemuan secara bersemuka.

Beliau berkata, penganjuran pertemuan secara bersemuka itu diadakan di dewan mewah yang ditempah atau di hotel.

Meskipun begitu kata beliau, terdapat juga mangsa penipuan pelaburan bersemuka terpengaruh dengan ajakan kenalan mahupun ahli keluarga yang telah mula menerima pulangan pelaburan di peringkat awal.

Jelasnya, pulangan pelaburan itu selalunya dibayar menggunakan wang pelaburan mangsa, bertujuan mendapat lebih kepercayaan supaya lebih ramai mangsa membuat pelaburan atau pelabur sedia ada menambah pelaburan masing-masing.

"Itu helah atau modus operandi yang digunakan secara bersemuka dan penipuan pelaburan juga banyak dilakukan secara dalam talian.

"Bagi penipuan pelaburan secara dalam talian, para mangsa selalunya terpedaya dengan iklan-iklan pelaburan di media sosial seperti Facebook, Telegram, Instagram dan Tiktok.

"Ramai mangsa telah dimasukkan ke dalam kumpulan media sosial dan terpengaruh dengan posting scammer yang turut menyamar sebagai pelabur lain dengan memberi testimoni telah berjaya mendapat pulangan lumayan daripada pelaburan mereka," katanya pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Kata beliau, terdapat juga mangsa dimasukkan dalam kumpulan media sosial yang memberi tip-tip pelaburan yang betul pada peringkat awalnya, namun selepas satu tempoh yang agak lama sekitar lebih kurang sebulan, admin kumpulan atau 'guru pelaburan' berkenaan akan memperkenalkan sejenis peluang pelaburan baharu.

Tambahnya, ada juga pihak scammer menggunakan nama syarikat sebenar yang akan disenaraikan dalam masa terdekat 'Initial Public Offering' (IPO) untuk meminta mangsa membuat bayaran pelaburan ke akaun-akaun keldai syarikat.

Jelas beliau, terdapat nama syarikat atau perniagaan keldai akaun yang berkenaan menyerupai nama-nama syarikat pelaburan antarabangsa.

"Terdapat juga kes penipuan pelaburan dalam talian bermula dengan berkenal-kenalan seperti kes 'love scam' apabila selepas satu tempoh, kenalan siber tersebut akan memperkenalkan pula peluang pelaburan yang tidak wujud kepada mangsa.

"Kebanyakan mangsa penipuan pelaburan tidak sedar mereka telah ditipu, sehinggalah mereka ingin membuat pengeluaran pelaburan yang mana selalunya scammer akan meminta mangsa membuat lagi bayaran mengikut peratusan pengeluaran yang ingin dibuat," ujarnya.

Ramli berkata, bagi tahun ini sehingga 31 Julai, jumlah penipuan pelaburan adalah sebanyak 3,293 kes, membabitkan kerugian berjumlah RM405.1 juta.

Beliau berkata, bagi tahun 2023, sebanyak 5,554 kes direkodkan dengan nilai kerugian berjumlah RM475.4 juta, manakala pada 2022 melibatkan 3,294 kes dengan kerugian sebanyak RM217.9 juta.

Bagi kes penipuan pelaburan pada tahun ini, kata beliau, Selangor mencatat jumlah paling tinggi iaitu 709 kes dengan kerugian berjumlah RM115.5 juta.

Menurut beliau, kes kedua tertinggi di Kuala Lumpur iaitu sebanyak 455 kes dengan nilai kerugian RM85.2 juta, diikuti Johor sebanyak 368 kes (RM31.3 juta kerugian) dan Pulau Pinang sebanyak 241 kes (RM42.9 juta kerugian).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!