Lelaki disyaki pukul teman wanita ditahan

Tangkap layar posting tular di laman sosial.
Tangkap layar posting tular di laman sosial.
A
A
A

PORT DICKSON - [DIKEMAS KINI] Polis menahan seorang lelaki selepas disyaki memukul teman wanitanya sehingga cedera dan melakukan ugutan jenayah dalam kejadian di Jalan Batu 18, Pasir Panjang dekati sini pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson,Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, lelaki berusia 27 tahun itu ditahan pada Khamis kira-kira jam 11.50 malam di Bandar Sunggala, Telok Kemang oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson.

"Sebelum ini, tular satu gambar di laman sosial Port Dickson Area (Official) yang telah dimuat naik oleh penama Anonymous member mengatakan suspek telah memukul kakaknya.

"Satu laporan polis telah dibuat mangsa pada hari sama jam 11.44 pagi," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, siasatan mendapati kejadian berlaku pada 28 Julai lalu lebih kurang jam 9 malam ketika mangsa dan suspek bertengkar isu cemburu.

"Mangsa telah mengalami kecederaan lebam di bahagian muka dan luka kecil di mulut. Suspek juga telah mengugut adik mangsa untuk menyebarkan gambar milik mangsa," katanya.

Aidi Sham berkata, hasil semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai tiga rekod berkaitan dadah manakala ujian saringan awal air kencing yang dijalankan dia positif Methamphetamine.

"Kes seterusnya disiasat di bawah Seksyen 323KK/506 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

"Suspek telah dibawa reman ke Mahkamah Majistret Port Dickson dan tahanan reman dibenarkan selama empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut," katanya.

Menerusi kapsyen pada gambar tular itu, individu berkenaan meminta orang ramai membantunya mengesan lelaki berkenaan.

"Assalamualaikum semua. kalau ada siapa-siapa nampak lelaki dalam gambar ini tolong angkut pergi bawa balai polis.

"Dia pukul kakak saya separuh mati macam binatang dia buat,semoga perempuan di luar sana tak termakan kata-kata manis dia ini. Semoga Allah balikkan apa yang kau buat dekat kakak aku balik...," tulisnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!