Dua anggota polis didakwa peras ugut lelaki Myanmar RM300

Tangkap layar video tular memaparkan dua anggota polis dipercayai melakukan pemerasan wang ke atas warga asing di Jalan Taming Sari, di sini.
Tangkap layar video tular memaparkan dua anggota polis dipercayai melakukan pemerasan wang ke atas warga asing di Jalan Taming Sari, di sini.
A
A
A

KAJANG - Dua anggota polis yang tular berhubung kes pemerasan terhadap seorang warga asing, didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat.

Koperal Nik Ridzuan Nik Man, 39, dan Konstabel Muhammad Najmi Mohd Khodri, 27, mengaku tidak bersalah, masing-masing atas satu pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret, Nurul Hafzan Ab Aziz.

Mengikut pertuduhan, dua anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang itu sengaja melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan kepada Wai Lin Phyo, 29, bahawa dia akan ditangkap sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang RM300.

Kesalahan itu dilakukan di tepi jalan Taming Sari 1, Balakong, di sini, pada jam 11.30 pagi, 28 Julai lalu.

Oleh itu mereka didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat, atau kedua-duanya.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Husna Amran mencadangkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000.

Sementara itu, peguam, Muhamad Wafiq Hadie yang mewakili Nik Ridzuan memohon kadar itu dikurangkan kerana anak guamnya mempunyai tanggungan tiga anak dan isteri selain mempunyai penyakit darah tinggi.

Seorang lagi peguam, Mohd Fikah Sanusi yang mewakili Muhammad Najmi, merayu perkara sama kerana anak guam menyara isteri dan seorang anak berusia tiga tahun.

Artikel Berkaitan:

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Nurul Hafzan membenarkan setiap tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 3 September depan.

Pada Isnin lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan dua anggotanya bagi membantu siasatan kes pemerasan ke atas seorang lelaki warga asing di lokasi kejadian.

Tangkap layar video tular memaparkan dua anggota polis dipercayai melakukan pemerasan wang ke atas warga asing di Jalan Taming Sari, di sini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!