Remaja didakwa edar 15.7kg dadah

Kompleks Mahkamah Sepang, Selangor.
Kompleks Mahkamah Sepang, Selangor.
A
A
A

SEPANG - Seorang remaja berusia 19 tahun berhadapan dengan hukuman mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Seksyen di sini pada Jumaat, atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 15.75 kilogram bulan lepas.

Abang Danny Abang Azlan mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Ahmad Fuad Othman, bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu pada jam 9.24 malam pada 19 Julai lepas, di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Aras2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah 39B(2) akta yang sama.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah dihukum sebat tidak kurang 15 sebatan jika tidak dijatuhi hukuman mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sabrina Zubairi manakala tertuduh diwakili peguam Darren Ee.

Mahkamah menetapkan 1 November depan untuk sebutan semula kes dan laporan kimia.

Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki tempatan ditahan di KLIA Terminal 2 di sini pada 19 Julai lepas kerana disyaki cuba menyeludup dadah bernilai RM504,000 ke Sarawak.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Azman Shari’at berkata, lelaki berusia 19 tahun itu ditahan selepas imbasan kotak makanan miliknya menunjukkan imej yang mencurigakan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!