JIM serbu pusat perniagaan dimonopoli warga asing, 71 ditahan

Sebahagian warga asing ditahan JIM dalam serbuan di sebuah kawasan pusat perniagaan Kinrara, Puchong, Selangor pada Khamis. Foto JIM
Sebahagian warga asing ditahan JIM dalam serbuan di sebuah kawasan pusat perniagaan Kinrara, Puchong, Selangor pada Khamis. Foto JIM
A
A
A

PUCHONG - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menggempur sebuah kawasan pusat perniagaan Kinrara, di sini pada pagi Khamis.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, seramai 92 pegawai dan anggota daripada Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya terlibat dalam serbuan yang dijalankan bermula jam 11.50 pagi itu.

Beliau berkata, pasukan operasi telah diatur gerak ke kawasan berkenaan dan menggempur deretan kedai yang dimonopoli oleh warga asing dipercayai berselindung di sebalik lesen perniagaan milik warga tempatan.

Kata beliau, serbuan dibuat berdasarkan aduan awam dan risikan yang dijalankan selama seminggu telah berjaya menahan seramai 71 orang warga asing.

Warga asing dipercayai berselindung di sebalik lesen perniagaan milik warga tempatan. Foto JIM
Warga asing dipercayai berselindung di sebalik lesen perniagaan milik warga tempatan. Foto JIM

"Kesemua mereka yang ditahan terdiri daripada 11 lelaki, 10 wanita dan seorang kanak-kanak lelaki warga Indonesia, manakala 21 lelaki, seorang wanita dan seorang kanak-kanak lelaki warga Bangladesh.

"Turut ditahan seorang lelaki dan empat wanita warga Myanmar, sementara dua lelaki dan seorang wanita warga Sri Lanka.

"Selain itu, seramai enam lelaki warga Pakistan dan 12 lelaki warga India juga ditahan dalam serbuan ini," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya lagi, turut ditahan 14 warga tempatan dan seorang lelaki India (MyPR) yang merupakan majikan di 17 premis perniagaan di kawasan tersebut.

Kesemua warga asing tersebut ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Machap Umboo untuk siasatan dan tindakan lanjut. Foto JIM
Kesemua warga asing tersebut ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Machap Umboo untuk siasatan dan tindakan lanjut. Foto JIM

Menurut beliau, kesemua yang ditahan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Perkara 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Kata beliau, mereka yang ditahan berusia antara tujuh bulan hingga 61 tahun.

"Kesemua warga asing tersebut ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Machap Umboo untuk siasatan dan tindakan lanjut," ujarnya.

Tegas beliau, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap warganegara asing yang tinggal secara haram, tinggal lebih masa dan menyalah guna pas di negara ini.

Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!