Pekerja maut dihempap forklift

Gambar hiasan 123RF.
Gambar hiasan 123RF.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seorang pekerja warga asing maut dihempap jentera pengangkut (forklift) dalam satu insiden yang berlaku di sebuah kilang pembuatan di sini, pada Isnin lalu.

Jurucakap Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9.40 malam sebelum sepasukan pegawainya bergegas ke ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan sebaik sahaja menerima pemberitahuan mengenai kes kejadian kemalangan tersebut.

Menurutnya, daripada siasatan awal yang dijalankan mendapati mangsa merupakan pemandu forklift di kilang tersebut.

"Sebelum kejadian, mangsa sedang menjalankan kerja mengangkat dan memindahkan barang-barang di dalam kawasan logistik di kilang tersebut.

"Mangsa dilaporkan dihempap oleh forklift yang hilang keseimbangan semasa mangsa memindah barang-barang tersebut dan mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Jurucakap berkenaan berkata, notis pemberhentian serta merta ke atas kerja-kerja di kawasan kejadian di kilang tersebut telah dikeluarkan sehingga siasatan selesai dijalankan.

Katanya, pihak JKKP juga telah mengarahkan majikan untuk menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian dan langkah penambahbaikan, dan membuat pembentangan kes kepada Jabatan.

"Pihak JKKP Pulau Pinang akan menjalankan siasatan susulan dengan mendapatkan dokumen berkaitan, dan merakam percakapan dalam pemeriksaan bagi saksi yang dikenalpasti dan lawatan susulan ke premis majikan selepas tindakan penambahbaikan dan pencegahan diambil.

Artikel Berkaitan:

"Adalah menjadi tanggungjawab majikan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 untuk memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja," katanya lagi.

Beliau berkata, majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja, perlu membuat analisa risiko dan mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum sebarang aktiviti kerja dijalankan.

Tegasnya, ini bagi menghapus atau mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan orang awam serta mengelakkan berlakunya kemalangan semasa aktiviti kerja dijalankan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!