Bertahun hadap bunyi bising, habuk kilang

Penduduk mengadakan bantahan aman di hadapan kilang haram di Kampung Permatang Ara, pada Jumaat.
Penduduk mengadakan bantahan aman di hadapan kilang haram di Kampung Permatang Ara, pada Jumaat.
A
A
A

PERMATANG PAUH - Penduduk di sekitar Kampung Permatang Ara di sini, rimas dengan pengoperasian sebuah kilang haram di sini yang telah menjejaskan kualiti hidup seharian mereka.

Mereka mendakwa, kilang memproses barangan plastik itu bukan sahaja menyebabkan bunyi bising dan mengganggu ketenteraman mereka, malah mengeluarkan habuk hingga menjejaskan kesihatan penduduk berhampiran.

Penduduk, Yeap Wei Chien, 31, berkata, kilang haram yang dibina hanya beberapa meter dari rumahnya itu sangat mengganggu kehidupan kerana beroperasi setiap hari.

Dakwanya, operasi kilang itu tidak menentu, ada kala pagi dan kadang kala pada patang.

Wei Chien
Wei Chien

"Siapa pun tak mahu tinggal di rumah sebaik sahaja kilang itu memulakan operasinya kerana bunyi terlalu bising hingga membuatkan kami sekeluarga rimas.

"Bayangkan macam mana kami nak tinggal di rumah kalau asyik terganggu dengan bunyi mesin mereka selain habuk yang dikeluarkan mengotorkan kawasan rumah serta pakaian di ampaian," katanya ketika ditemui pemberita di sini, pada Jumaat.

Wei Chien yang tinggal di kawasan itu sejak lebih 20 tahun lalu berkata, walaupun sudah banyak kali aduan dibuat kepada pihak berkuasa, namun kilang itu masih lagi beroperasi seperti biasa.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi penduduk, Omar Shaari, 64, berkata, rumahnya yang terletak kira-kira 400 meter dari kilang berkenaan turut terkesan dengan bunyi bising setiap hari.

Katanya, penduduk sudah tidak tahan lagi dengan kacau ganggu yang berpunca dari kilang haram berkenaan dan menuntut agar pihak berkuasa mengambil tindakan segera menutup kilang terbabit.

Omar
Omar

"Kilang ini dah beroperasi hampir tujuh tahun dan aduan telah banyak dibuat namun seperti tiada langsung tindakan diambil.

"Kami difahamkan kilang ini tiada lesen untuk beroperasi di sini, jadi kenapa dibiar begitu sahaja sedangkan banyak aduan telah dibuat? Jadi kami mahu tindakan penguatkuasaan segera dibuat," tegasnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Amir Hamzah Abdul Hashim berkata, beliau kecewa dengan sikap kerajaan negeri kerana membiarkan isu kilang haram ini berlarutan sejak sekian lama walaupun banyak aduan telah dibuat.

Jelasnya, beliau sendiri telah membawa perkara ini kepada Exco berkaitan selain membangkitkan isu berkenaan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Mei lalu.

"Saya telah membangkitkan permasalahan rakyat di Kampung Permatang Ara ini dalam DUN malah mengadakan pertemuan bersama YB Exco dan membawa pengadu bersama namun sampai sekarang perkara ini tidak diendahkan.

"Akibat operasi kilang haram ini, penduduk mendakwa kesihatan dan emosi mereka terganggu akibat pencemaran udara dan bunyi bising yang mengganggu kehidupan mereka," katanya.

Pembinaan kilang haram itu terlalu hampir dengan rumah penduduk.
Pembinaan kilang haram itu terlalu hampir dengan rumah penduduk.

Beliau turut mendedahkan, pihaknya mempunyai bukti video yang mana kilang terbabit mengeluarkan air kotor berwarna putih dan dilepaskan di parit belakang kilang terbabit.

Dalam pada itu, Amir Hamzah menjelaskan aduan demi aduan telah dibuat sejak 30 November tahun lalu kepada agensi yang berkaitan namun tiada tindakan susulan.

Beliau mendakwa ada seseorang yang berkepentingan yang berada di sebalik kilang haram terbabit sehinggakan ia kebal dengan terus beroperasi.

"Sekiranya ia masih lagi dibiar beroperasi tanpa tindakan susulan, kita tidak menolak akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat perkara ini.

"Sehingga kini, terdapat 488 kilang haram yang beroperasi di negeri ini dan dan sebanyak 155 terdapat di Seberang Perai Tengah, jadi kita harap kerajaan negeri bertegas mengenai isu ini," katanya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!