Padah jual beg jenama tiruan dalam talian
PASIR MAS - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menahan seorang wanita kerana menjual beg tangan berjenama tiruan dalam talian selepas menyerbu sebuah premis di Kampung To'Deh di sini, pada Khamis.
Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, penguat kuasa KPDN Cawangan Pasir Mas telah menjalankan satu Operasi Bersepadu bersama wakil Pemilik Cap Dagang dan menyita sebanyak 620 beg wanita disyaki berjenama tiruan dengan anggaran nilai rampasan RM15,500.
"Serbuan dibuat di sekitar sebuah rumah di Kampung To' Deh yang dijadikan tempat jualan barangan yang dijual dalam talian di platform media sosial," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut beliau, suspek berusia 42 tahun itu telah ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Cap Dagangan 2019 iaitu memiliki, menjaga, dan mengawal barang-barang yang memakai cap dagangan berdaftar dengan cara salah.
Ujarnya, operasi terbabit merupakan langkah penguatkuasaan undang-undang harta intelek bagi melindungi hak cipta dan membanteras penjualan barang tiruan.
Azman memberitahu, jika sabit kesalahan, pemilik premis perniagaan boleh didenda jika pertubuhan atau perbadanan, denda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang.
"Manakala individu atau perseorangan pula denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.
"Kes disiasat bawah Akta Cap Dagangan 2019 kerana disyaki melakukan kesalahan iaitu mempunyai dalam milikan jagaan dan kawalan bagi maksud perdagangan.
"KPDN Kelantan memberi amaran kepada mana-mana individu atau peniaga yang dengan niat melakukan aktiviti tidak bermoral ini supaya menghentikannya segera," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!