Masuk ke Malaysia jual rokok seludup dari China
PUTRAJAYA - Penahanan dua warga China oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membongkar kegiatan menjual rokok seludup kepada pelancong negara republik itu yang berkunjung ke Genting Highlands, Pahang.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pihaknya telah menjalankan operasi di tiga lokasi sekitar Genting Highlands menerusi satu operasi khas yang dilaksanakan pada Khamis.
Menurutnya, operasi bermula jam 1.39 petang itu melibatkan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat daripada Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
Beliau berkata, pasukan operasi telah diatur gerak ke tiga premis kediaman dan berjaya menahan seorang lelaki warganegara China berusia 45 tahun serta seorang wanita warganegara sama berumur 32 tahun.
"Hasil semakan awal mendapati wanita warga China tersebut telah menyalahgunakan pas lawatan sosial (PLS) yang diberikan, manakala lelaki warganegara China yang ditahan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.
"Dalam serbuan itu, pasukan operasi turut merampas 111 kotak rokok, 102 karton rokok pelbagai jenama yang disyaki diseludup secara haram dan wang tunai sebanyak RM600," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Ruslin berkata, modus operandi suspek adalah menjalankan aktiviti penjualan rokok China yang diseludup secara haram dan mensasarkan warga China yang datang ke Genting Highlands.
Katanya, harga jualan antara RM20 hingga RM30 untuk sekotak rokok pelbagai jenama daripada China dan suspek dipercayai telah beroperasi selama lima bulan.
Tambahnya, kedua-dua suspek warga China itu ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Perkara 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Jelasnya, suspek ditahan di Depot Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut.
"Pihak JIM akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM)," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!