Mohd Azizi gerakkan jentera bantu calon BN di Nenggiri

Mohd Azizi, Mohd Azmawi Fikri
Mohd Azizi, Mohd Azmawi Fikri
A
A
A

GUA MUSANG - Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim akan menggerakkan jenteranya untuk membantu kempen calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri yang bermula pada Sabtu.

Beliau berkata, ia bagi memastikan BN menang di kerusi berkenaan sekali gus menambah bilangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang untuk memainkan peranan semak dan imbang kepada kerajaan negeri.

"Saya akan gerakkan jentera untuk bantu kempen calon BN," katanya ketika dihubungi pemberita pada Jumaat.

Mohd Azizi memberitahu, beliau juga akan mengadakan majlis pembubaran cawangan-cawangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Katanya, tindakan itu akan turut disertai oleh Ahli Jawatankuasa Bahagian Bersatu Gua Musang.

Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah membuat pengumuman pengosongan luar jangka kerusi berkenaan pada 13 Jun lalu.

Ia dibuat selepas Mohd Amar menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada Bersatu mengenai pengguguran keahlian Mohd Azizi.

Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos ini manakala tarikh penamaan calon serta pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!