Dua pegawai Jabatan Pendidikan Negeri Melaka nafi terima rasuah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MELAKA - Dua pegawai Jabatan Pendidikan Negeri Melaka mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini pada Jumaat atas dakwaan bersubahat dan menerima rasuah bernilai RM27,100 daripada seorang kontraktor pengiklanan bagi mendapatkan kerja-kerja perbekalan, dua tahun lepas.

Yusmawati Mohamad Yussop, 48, dan Rosni Leman, 61, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Yusmawati yang bertugas sebagai ketua pembantu tadbir didakwa menerima wang tunai bernilai antara RM1,900 hingga RM9,000 bagi tempoh 7 Mac 2022 hingga 9 Februari 2023, di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Sementara Rosni yang ketika itu bertugas sebagai timbalan pengarah, dituduh di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana bersubahat dengan Yusmawati.

Kedua-dua wanita itu didakwa menerima suapan daripada Pengurus Syarikat Pusat Pengiklanan Prisma Ong Ah Siong yang mana tertuduh mengetahui pengadu mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi mereka.

Sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohammad Azriff Firdaus Mohamad Ali yang mencadangkan jaminan antara RM10,000 hingga RM15,000 bagi setiap tertuduh, selain perlu melapor diri ke Pejabat SPRM Melaka sebulan sekali sepanjang kes berjalan.

Bagaimanapun Yusmawati dan Rosni yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan, atas alasan masing-masing merupakan ibu tunggal yang perlu menanggung anak-anak.

Artikel Berkaitan:

Hakim Elesabet menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin ke atas setiap tertuduh dan bersetuju dengan semua syarat tambahan tersebut.

Mahkamah menetapkan 12 Ogos ini bagi sebutan kes dan serahan dokumen. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!