'Bom rahsia' bunuh Ismail Haniyeh?
HAIFA - Pemimpin kanan Hamas, Ismail Haniyeh dibunuh menggunakan alat letupan yang disembunyikan secara rahsia sejak dua bulan lalu di rumah tamu yang menjadi tempat penginapan beliau di ibu kota Iran.
Perkara itu didedahkan sumber rapat yang telah diberi taklimat tentang operasi itu yang mengesahkan bom itu diletupkan dari jarak jauh apabila Haniyeh berada di dalam biliknya yang dilaporkan pertama kali oleh New York Times.
Sejak beberapa hari lalu, Iran dan gerakan Hamas mendakwa Israel mendalangi insiden pembunuhan tersebut, namun Tel Aviv masih mengunci mulut tidak menafikan atau mengiyakan.
Sebelum ini, media di Teheran juga melaporkan Haniyeh terkorban dalam serangan roket yang dilancarkan dari luar bangunan tempat penginapannya.
Tetapi, pendedahan tersebut tentang bom yang mungkin diseludup masuk ke rumah tetamu yang berada di bawah perlindungan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) jelas menunjukkan pelanggaran keselamatan yang menggemparkan buat pasukan berkenaan.
Sehingga kini, tidak jelas bila Ketua Biro Politik Hamas itu tiba di Teheran, namun terdapat laporan yang menyebut beliau mungkin sudah berada di negara tersebut sejak Isnin untuk menghadiri majlis angkat sumpah jawatan Presiden baharu, Masoud Pezeshkian.
Foto beliau pertama kali dirakamkan pada Selasa ketika bertemu Pemimpin Agung, Ayatollah Ali Khamenei dan Pezeshkian malah Haniyeh juga menyertai majlis perasmian di bangunan Perhimpunan Perundingan Islam di mana pejuang hak Palestin itu duduk di barisan hadapan.
Beberapa jam sebelum kejadian itu, Haniyeh membuat kemunculan terakhir di sebuah pameran di Menara Milad di Teheran.
"Beliau terkorban dalam serangan peluru berpandu pada jam 2 pagi (waktu tempatan)," lapor IRNA pada Rabu. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!